Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengerahkan tentera bagi membendung protes yang bertukar ganas di seluruh negara itu susulan kematian warga kulit hitam George Floyd.

Bercakap di Rose Garden di White House pada Isnin, Donald Trump berkata apa yang berlaku adalah satu penghinaan dan kerajaan persekutuan mula mengambil tindakan tegas berhubung tindakan ganas perusuh.

"Saya juga mengambil langkah dan tindakan tegas untuk melindungi pemaburan besar kita.

"Washington DC, apa yang berlaku di bandar ini malam tadi ialah satu bentuk penghinaan dan ketika ini, saya telah menghantar ribuan tentera bersenjata dan pegawai penguatkuasa undang-undang untuk menghentikan rusuhan, penjarahan, vandalisme, serangan dan kemusnahan harta benda yang tidak diingini.

"Kami memberi amaran kepada semua orang bahawa perintah berkurung pukul 7 malam akan kami kuat kuasakan dengan ketat.

"Mereka yang mengancam nyawa dan harta benda akan ditangkap, ditahan dan diadili dari segi undang-undang.

"Saya mahu pihak penganjur keganasan ini menyedari bahawa anda akan menghadapi hukuman jenayah berat dan hukuman panjang di penjara," tegas beliau.

Trump telah mengerahkan Pengawal Negara untuk mengawal keadaan berdekatan White House pada awal pagi Isnin.


Sebanyak 23 bandar di seluruh Amerika Syarikat berada di bawah perintah berkurung yang tidak pernah dilihat sejak rusuhan meletus ketika pembunuhan Martin Luther King Jr 1968.

Seorang individu terbunuh di Lousville, Kentucky pada Isnin di mana polis dan pasukan Pengawal Nasional membalas tembakan ketika cuba menyuraikan orang ramai.

Dalam perkembangan sama, Gabenor Chicago, Lori Lighfoot telah mengerahkan 10,000 anggota polis di Chicago untuk mengawal keadaan.

Rusuhan tercetus ketika mana negara itu sedang melonggarkan sekatan yang dikuatkuasakan untuk mengekang penularan COVID-19.

Suspek utama pegawai polis Derek Chauvin, 44, dipecat, telah ditangkap dan didakwa dengan pembunuhan tahap tiga dan pembunuhan tahap dua.

Trump telah mengecam pembunuhan Floyd dan berjanji akan melaksanakan keadilan namun telah menggambarkan penunjuk perasaan sebagai 'samseng'.

Pengkritik menuduh Presiden Replikan itu memicu konflik dan ketegangan kaum ketika beliau sepatutnya menyatu-padukan negara dan menangani masalah yang mendasar.

Sementara itu, bedah siasat kedua yang diarahkan oleh keluarga Floyd mendapati bahawa kematiannya adalah disebabkan pembunuhan 'sesak nafas mekanikal' yang bermaksud terdapat kekuatan fizikal menganggu bekalan oksigennya.

Laporan itu mendedahkan terdapat tiga pegawai polis yang menyebabkan kematian Floyd.

Pemeriksaan Perubatan Daerah Hennepin pada Isnin mengeluarkan perincian bedah siasat yang juga menyatakan kematian Floyd adalah pembunuhan disebabkan sesak nafas.

Bedah siasat dapati George Floyd maut akibat sesak nafas

Laporan itu juga menambah Floyd mengalami kardiopulmonori ketika ditahan polis dan dia sebelum ini menderita penyakit jantung arteriosklerotik dan hipertensi, keracunan fentanil dan penggunaan metamfetamin baru-baru ini.