Tanpa peduli pada sesiapa, Desire Koffi, 24, sering melalui Koumassi, iaitu kawasan popular dalam bandar Abidjan, Ivory Coast untuk memungut bahan buangan.

Secara khusus, dia mengumpul sisa elektronik daripada telefon bimbit lama malah sanggup membayar harga sekitar 500 CFA Franc (RM3.40) bagi seunit telefon yang sedia dilepaskan oleh pemiliknya.

Di rumah pula, seniman itu akan meleraikan telefon-telefon itu dengan penukul untuk mengambil skrin pemapar dan juga papan kekunci.

Semua itu mahu digunakan dalam karya seninya, yang setiap satu mengambil masa antara tiga hingga 5 hari untuk disiapkan.

Koffi membesar di Koumassi dan berkata dia tertarik melakukan amalan kitar semula seterusnya menggunakan sisa elektronik dalam karya seninya, selepas melihat sendiri objek-objek itu mencemarkan persekitaran.

Bahagian tertentu dari telefon bimbit lama dijadikan elemen penting dalam karya seni Koffi. - Reuters

"Matlamat nombor satu adalah untuk mencuba, walau sekecil ini, bagi mengurangkan pembuangan sisa elektronik di jalanan mahupun di tempat pembuangan.

DI sini, kita dalam kejiranan yang popular, dan anda mudah menjumpai telefon lama yang tidak lagi boleh diperbaiki,” ujarnya.

Dengan populasi kira-kira 5.5 juta orang, Abidjan menghasilkan sehingga 1,500 tan sisa elektronik setiap tahun. Koffi memberitahu ada bahagian-bahagian tertentu pada bahan buangan elektronik itu yang boleh menjana pendapatan.

Dengan menyertai beberapa pameran seni antarabangsa dan tempatan, Koffi kini menjadi salah satu daipada individu penting dalam aliran seni kontemporari Ivory Coast.

Koffi tergerak untuk menghasilkan karya seninya selepas memerhatikan kesan bahan buangan elektronik yang mencemari kejiranannya. - Reuters