Syarikat minuman kopi terkemuka dunia, Starbucks pada Sabtu memohon maaf atas insiden dua lelaki berkulit hitam yang telah ditahan polis di sebuah premisnya di Philadelphia, Amerika Syarikat.

Tindakan yang dilihat ramai berbau perkauman di pihak syarikat itu dan polis.

Kejadian tegang pada Khamis itu turut sempat dirakam menerusi telefon bimbit yang antara lain memaparkan enam anggota polis mengarahkan dua lelaki kulit hitam untuk beredar.

Sejurus kemudian seorang lelaki tiba dan memaklumkan kedua-dua mereka sedang menunggunya.

Alasan itu tidak diterima, sebaliknya kedua-duanya ditahan kerana ingkar perintah polis.

Kedua-duanya bagaimanapun telah dibebaskan pada Jumaat tanpa sebarang pendakwaan.

Video terbabit pantas tular di media sosial dengan jutaan tontonan dan membangkitkan kemarahan ramai.

Menurut peguam kedua-dua lelaki kulit hitam itu, anak guamnya telah memaklumkan kepada petugas di Starbucks yang mereka sedang menunggu seorang rakan untuk urusan perniagaan, namun salah seorang petugas bertindak memanggil pihak polis.

Starbucks menerusi akaun Twitternya kemudiannya mengeluarkan permohonan maaf dengan kenyataan ‘kami kecewa dengan insiden yang membawa kepada penahanan ini’.


Manakala polis dalam kenyataan di laman Facebook pada Sabtu berkata, kekeliruan timbul apabila salah seorang lelaki terbabit ingin menggunakan tandas tanpa membuat sebarang pembelian terlebih dahulu.

Sudah menjadi polisi syarikat Starbucks untuk tidak membenarkannya, disusuli dengan arahan untuk lelaki terbabit meninggalkan premis terbabit.

Pihak polis telah melakukan tugas secara profesional dan seperti yang sepatutnya, tegas kenyataan itu lagi.

Lelaki itu juga ditahan selepas diperintahkan polis untuk beredar sebanyak tiga kali.

Starbucks memaklumkan syarikat itu tidak mempunyai polisi untuk mengarahkan orang awam untuk beredar, dan menyerahkan kepada premis terbabit berhubung urusan keselamatan dan protokol perkhidmatan pelanggan.