Memperkenalkan Malaysia Baharu menjadi subtopik pertama buat Tun Dr Mahathir Mohamad di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas 15 tahun meninggalkannya.

Perdana Menteri berkata, keputusan rakyat Malaysia menggantikan kerajaan baharu selepas 61 tahun disebabkan oleh tindakan kerajaan terdahulu.

“Kami lakukan ini (menukar kerajaan) disebabkan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) mengamalkan politik kebencian, perkauman, keagamaan termasuk rasuah secara berleluasa.

“Proses peralihan berlangsung dengan demokratik, tanpa sebarang keganasan mahupun kehilangan nyawa.

“Rakyat Malaysia mahukan Malaysia baharu yang memegang prinsip keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan berlandaskan undang-undang,” kata beliau.

Ujar beliau, rakyat Malaysia mahukan negara yang bersahabat dengan semua negara lain termasuk tanpa bermusuh dengan mana-mana pihak.

Malah, ujar beliau Malaysia kekal sebagai neutral tanpa memihak selain menyatakan pendirian secara jelas tanpa sebarang keraguan mahupun gentar.