Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merayu kepada warga dunia terutama Eropah untuk tidak lagi mengharamkan penggunaan minyak sawit.

Katanya, ia adalah penyumbang besar kepada ekonomi negara serta pendapatan buat para pekebun terutama di negara-negara miskin yang bergantung tinggi kepada pengeluaran minyak sawit.

“Minyak sawit adalah penyumbang besar kepada ekonomi. Tiada bukti bahawa ia beracun. Kami merayu pertimbangan bijak mereka yang kaya untuk tidak memiskinkan kami, tidak menafikan beratus ribu pekerja kami daripada mendapat pendapatan.

“Ia adalah sikap terpuji apabila anda menggunakan minyak sawit,” katanya ketika sesi debat umum di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.

Beliau pada masa sama memberi jaminan bahawa Malaysia tidak lagi akan menggondolkan hutan semata-mata untuk membuka ladang sawit.

“Malaysia tidak akan menebang lagi hutan untuk mewujudkan ladang sawit. Kami juga prihatin terhadap alam sekitar sama seperti Eropah.

“Pada Sidang Kumuncak Bumi Rio pada 1992, Malaysia berikrar untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada tanahnya adalah hutan.

“Kami telah merealisasikan ikrar itu, malah lebih baik. Hutan kami kini adalah 55.3 peratus, melebihi ikrar kami di Rio,” jelas Dr Mahathir.

Menurutnya, pengharaman kepada import minyak sawit yang dilakukan oleh negara-negara Eropah merupakan salah satu daripada penafian terhadap perdangan bebas yang diamalkan selama ini.

“Gagal untuk mengekalkan persaingan dengan minya masak mereka, jadi mereka mewujudkan kempen untuk mengharamkan minyak sawit.

"Mereka kata minyak sawit beracun kepada kesihatan, memusnahkan habitat monyet berhidung panjang (kera bekantan), mengurangkan penyerapan karbon dioksida dan pelbagai lagi.

“Produk Eropah diletakkan label bebas minyak sawit. Biofuel menggunakan minyak sawit juga diharamkan,” ujarnya.