JODOH, rezeki, hidup dan mati adalah rahsia ALLAH SWT.

Tiada siapa mampu menolak takdir yang telah tertulis begitu juga dengan seorang wanita reda atas kehilangan tunangnya bulan lepas dalam nahas pesawat Lion Air JT-610.

Walaupun ketiadaaan tunangnya di sisi, Intan Indah Syari, 26, tetap meneruskannya 'perkahwinannya' bersendirian demi memenuhi hasrat terakhir pasangannya Rio Nanda Pratama, 26.

Kad perkahwinan juga dimuatnaik di Instagram tertera tarikh 11 November tarikh pernikahan manakala 23 November majlis resepsi.

Bagi membuktikan cinta mereka dipupuk sejak dibangku sekolah, Intan yang juga seorang petugas hospital telah menyarung pakaian pengantin serta mempamerkan cincin perkahwinan di Instagram miliknya.

Foto Instagram

"Walau sekarang kita terpisah ruang dan waktu, tapi aku yakin sebenarnya kamu begitu sangat dekat, kerana kamu telah berada di hatiku.

"Walau sebenarnya ada kesedihan yang tak mampu diucapkan, tapi aku harus tersenyum untukmu, tak boleh bersedih, perlu kuat seperti yang selalu kamu katakan padaku," katanya.

Katanya, meskipun tunangnya tiada ketika itu tetapi adik Ria Nanda Pratama sentiasa berada disisinya untuk memenuhi hasrat terakhir mereka iaitu melangsungkan perkahwinan.

Rio merupakan seorang doktor perubatan di Hospital Bakti Timah, Pangkal Pinang.

"Dia seorang yang baik dan sentiasa mahu membantu pesakit. Dia sentiasa mengingatkan saya bahawa di dunia, tiada yang kekal," kata Intan.

Dalam pada itu tragedi Lion Air telah mengorbankan 189 penumpang yang terhempas 13 minit selepas berlepas dari Jakarta pada 29 Oktober lalu ke Pangkal Pinang.