AKTRES Amerika Syarikat Meghan Markle telah selesai sesi penggambaran ‘Suits’ untuk musim ke-tujuh dan akan meninggalkan siri drama tersebut setelah pertunangan beliau bersama Putera Harry diumumkan semalam.

USA Network dan Universal Cable Productions dalam satu kenyataan turut mengesahkan perkara ini dan mengucapkan terima kasih kepada Markle.

“Meghan telah menjadi sebahagian dari keluarga kami selama tujuh tahun dan kami sangat gembira untuk bekerja dengannya.

BACA: Putera Harry, Meghan Markle bakal langsungkan perkahwinan pada 2018

“Kami ingin mengucapkan terima kasih atas dedikasi beliau kepada Suits,” tulis kenyataan itu.

Selain itu, beliau juga menamatkan kerja beliau bersama beberapa pertubuhan seperti Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), World Vision Canada dan One Young World.

Ini membolehkan beliau untuk menubuhkan organisasi amal beliau sendiri atau menyertai organisasi amal yang dinaungi ahli kelurga kerabat Britain.

Musim ketujuh Suits akan ditayangkan pada 2018.

Dalam perkembangan lain, Markle juga dalam proses untuk memohon kerakyatan United Kingdom.


Memetik laporan The Daily Mail, wakil komunikasi Putera Harry, Jason Knauf berkata Markle akan melalui proses permohonan kerakyatan yang akan mengambil masa beberapa tahun.

“Beliau masih akan tetap menjadi rakyat Amerika Syarikat ketika proses ini,” katanya.

Knauf tidak memberikan sebarang komen jika Markle akan terus simpan kerakyatan AS beliau atau menjadi warga kedua-dua negara.