Amerika Syarikat (AS) didesak agar tidak campur tangan dalam konflik di wilayah utara Syria.

Desakan itu dibuat Turki pada Sabtu berikutan sokongan penuh tentera Amerika Syarikat terhadap militia Syria-Kurdish (YPG) di Manbij.

Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu menegaskan tentera AS perlu segera meninggalkan wilayah itu kerana usaha memerangi militia terbabit sedang giat dijalankan Ankara di sempadan negara itu.

Pada Jumaat, Presiden Recep Tayyip Erdogan mengeluarkan arahan kepada tenteranya agar mengusir militia terbabit dari sempadan Syria-Turki.

Erdogan turut mahu pengusiran terbabit dilakukan ke atas pasukan militia yang berkubu di sempadan Syria - Iraq.

Usaha pengusiran terbabit dijangka mencetuskan ketegangan berikutan sokongan tentera yang dihulur AS kepada militia YPG.

Cavusoglu menambah, Ankara mahu Washington memperjelas pendirian yang lebih konkrit berikutan kerjasamanya dengan militia YPG.

Sebelum kenyataan itu dibuat, Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, H.R McMaster memberitahu bahawa Washington akan memberhentikan sepenuhnya penyaluran senjatanya susulan kenyataan yang dibuat Erdogan pada Jumaat.

Ankara yang dalam usaha memerangi anggota pemberontak dari Parti Pekerja Kurdistan (PKK) berang dengan tindakan Washington yang telah menyalurkan bantuan ketenteraan kepada militia YPG.

Bagi Ankara, YPG adalah sekutu kepada PKK yang telah melancarkan pemberontakan selama tiga dekad di negara itu.