Golongan wanita yang berikrar untuk mengundi buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum Pakistan, semalam gagal menunaikan tanggungjawab mereka kerana takut dengan ugutan suami masing-masing.

Sebelum ini, pemimpin di perkampungan Mohri Pur terletak kira-kira 60 kilometer dari bandar Multan, wilayah Punjab melarang wanita membuang undi dan peraturan itu telah dipatuhi sejak beberapa dekad lalu.

Bagaimanapun, mereka nekad mahu melanggar peraturan itu susulan perubahan dalam undang-undang pilihan raya di negara itu.

Kira-kira 3,200 wanita disenaraikan dalam daftar pemilih di Mohri Pur, namun tiada siapa keluar mengundi.

"Suami kami mengugut akan menceraikan kami jika membuang undi," kata Tanya Bibi, 25.

Difahamkan, kira-kira 8,000 penduduk lelaki mendaftar untuk mengundi pada kali ini.

"Wanita dilarang membuang undi dan ia adalah tradisi lama yang akan terus dipelihara," jelas Muhammad Shamsher.