KERAJAAN United Kingdom (UK) telah meluluskan pembelian 90 juta lagi dos vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan syarikat farmaseutikal Belgium, Janssen dan syarikat bioteknologi Amerika Syarikat, Novavax.

Memetik laporan BBC, ia termasuk enam lagi vaksin yang masih dalam percubaan, sekaligus menjadikan jumlah simpanan stok vaksin secara keseluruhan buat negara itu adalah sebanyak 340 juta dos.

Salah seorang ahli Jawatankuasa Vaksin kerajaan UK, Kate Bingham menjelaskan bahawa pengedaran vaksin itu dijangka bermula pada pertengahan 2021 sekiranya ujian percubaan Janssen dan Novavax menunjukkan perkembangan positif.

Namun, beliau tidak memberikan jaminan sebarang hasil positif daripada vaksin tersebut setakat ini.

Tambahnya, adalah menjadi “keutamaan” kerajaan untuk memastikan UK mempunyai “vaksin yang mencukupi” buat golongan yang “paling berisiko menjangkiti koronavirus”.

Pada masa yang sama, Setiausaha Perniagaan UK, Alok Sharma turut menjelaskan tentang pendekatan negara itu dalam usaha membangunkan vaksin.

Katanya, kerajaan UK telah membeli beberapa vaksin koronavirus yang dihasilkan menerusi empat pendekatan saintifik berbeza, termasuk daripada Universiti Oxford/AstraZeneca, BioNTech/Pfizer, Valneva, serta dari Novavax.

“Strategi kerajaan untuk membangunkan sebuah portfolio dengan pelbagai calon vaksin yang meyakinkan akan memastikan kami mempunyai peluang terbaik untuk mencari vaksin yang berhasil,” kata Sharma lagi.

“Kelulusan pada hari ini bukan sahaja memanfaatkan rakyat UK, tetapi memastikan akses yang adil dan saksama di serata dunia yang berpotensi melindungi berjuta-juta nyawa.”