Parti Konservatif hampir pasti menang majoriti dalam pilihan raya umum yang diadakan semalam.

Antara lain, keputusan tidak rasmi mendedahkan parti dipimpin Boris Johnson itu akan membolot 368 kawasan Parlimen, lebih 50 berbanding pilihan raya pada 2017, apabila kesemua keputusan diumumkan nanti.

Kajian yang diadakan di pusat pengundian mendedahkan Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbyn akan mendapat 191 kerusi.

Ini diikuti Liberal Demokrat dengan 13 kerusi dan SNP 55, manakala tiada sebarang kerusi untuk Parti Brexit dipimpin Nigel Farage.

Tinjauan itu juga meramalkan Parti Green masih akan mempunyai seorang Ahli Parlimen dan Plaid Cymru kehilangan satu daripada keseluruhan tiga kerusi.

Keputusan pertama pilihan raya umum ini akan diketahui bermula awal pagi dengan pemenang bakal diketahui menjelang tengah hari.

Dalam keputusan tidak rasmi ini, pengundi ditanya mengenai cara mereka memilih.

Ia dijalankan oleh Ipsos Mori di 144 pusat pengundian dengan 22,790 temu bual dijalankan.

Beberapa tahun sebelum ini, hasil tinjauan pendapat ini terbukti sahih. Antaranya, pada 2017 di mana ia ramalkan Parlimen tergantung dengan tiada pemenang mutlak.

Manakala pada 2015, ia meramalkan Konsevartif menjadi parti terbesar Britain.