Vaksin terhadap wabak yang paling ditakuti iaitu Ebola, mula diagihkan terhadap penduduk di kawasan pendalaman di Congo bagi menghindari daripada wabak berkenaan terus merebak.

Tindakan drastik itu terpaksa dilakukan oleh Kementerian Kesihatan negara itu selepas kes jangkitan wabak maut itu kian merebak dan setakat ini telah mencatatkan 35 kes.

Daripada jumlah tersebut, 10 daripadanya disahkan telah meninggal dunia.

Sebelum ini, kempen vaksinasi telah dilakukan di bandar Mbandaka selepas empat kes jangkitan Ebola disahkan berlaku.

Sementara itu, lebih 100 pekerja kesihatan juga telah diarahkan untuk mengambil vaksin berkenaan kerana berdepan risiko jangkitan yang tinggi.

Bermula Isnin, kempen vaksinasi akan dilaksanakan di kawasan pendalaman Bikoro dan Iboko iaitu kawasan barat laut negara tersebut.

Daripada 10 kes kematian yang direkodkan, lima daripadanya disahkan berlaku di Bikoro, dua di Iboko dan tiga di Wangata.

Ini adalah wabak Ebola yang kesembilan berlaku di Congo sejak tahun 1976 dan sehingga kini dunia perubatan masih belum menjumpai rawatan khusus untuk penyakit tersebut.