Syarikat media digital popular, Vice Media, kini dikaitkan dengan skandal gangguan seksual atau penyelesaian kes fitnah melibatkan 12 tuduhan yang difailkan pekerja dan bekas pekerja syarikat itu yang mendakwa mengalami atau menyaksikan perbuatan tersebut berlaku.

Hasil dari laporan ekslusif akhbar The New York Times, presiden Vice Media, Andrew Creighton, dituduh memecat seorang pekerja hanya kerana dia menolak tawarannya untuk bersama.

Creighton dilaporkan membuat bayaran penyelesaian sebanyak AS$135,000 pada 2016.

Laporan itu turut mendedahkan Vice Media baru-baru ini mencapai penyelesaian terbaharu selepas bekas ketua bilik berita Vice, Jason Mojica, dituduh menghukum seorang pekerja wanita selepas mereka didapati mempunyai hubungan intim. Mojica kemudian dipecat pada November.

Pada Januari 2016, syarikat itu turut membuat penyelesaian dalam sebuah kes melibatkan seorang wanita yang mendakwa bahawa penerbit Vice, Rhys James, telah bertanya samada dia pernah membuat hubungan intim dengan lelaki kulit hitam, dan juga warna putingnya. James kini sedang dipaksa bercuti.

Pada tahun 2003, Vice turut membuat penyelesaian dalam sebuah kes dengan seorang penulis yang mendakwa bahawa penerbitan itu telah menuduhnya bersetuju untuk meniduri seorang penyanyi rap yang ditemubual oleh mangsa.

Malah, salah seorang wanita yang ditemubual akhbar The New York Times untuk pendedahan tersebut turut berkongsi kisah seorang rakan sekerja yang meletakkan tangannya di bahagian sulit wanita itu sewaktu bekerja dan kegiatan pekerja lelaki yang akan memaksa pekerja wanita untuk mencium mereka.

Pengasas syarikat tersebut, Shane Smith dan Suroosh Alvi, dalam satu keterangan kepada pekerja Vice berkata, mereka telah gagal sebagai sebuah syarikat untuk membina sebuah persekitaran yang selamat dan inklusif di mana setiap pekerja, terutamanya wanita, merasa dihormati dan boleh berjaya.

"Hasil dari elemen budaya tidak sihat dari masa lampau, kegagalan untuk befungsi dengan baik serta kekurangan dari segi pengurusan kita melihat perkara ini dibiarkan begitu sahaja. Begitu juga kewujudan budaya 'kelab lelaki' (boys club) yang membuat mereka fikir mereka boleh terus berkelakuan seperti itu dalam syarikat ini," katanya.

Sebagai tindak balas pertuduhan serangan seksual, Vice telah memecat tiga pekerjanya, mengambil ketua sumber manusia baharu dan mencipta Badan Penasihat Kepelbagaian dan Keterangkuman yang melibatkan tokoh seperti Gloria Steinem dan melancarkan larangan terhadap pekerja dengan status pengurus untuk mempunyai hubungan intim dengan pekerja seliaan mereka.