Washington, Amerika Syarikat mengisytiharkan situasi darurat kesihatan sejurus 35 lagi kes demam campak disahkan merebak di negeri itu.

Gabenor Washington, Jay Inslee berkata pengumuman darurat itu dibuat kerana berlakunya peningkatan penyakit berjangkit itu secara mendadak dan ianya sangat berisiko terutamanya kepada kanak-kanak kecil.

“Campak merupakan penyakit yang senang berjangkit dan boleh membawa maut kepada kanak-kanak kecil. Ia juga sangat berisiko kerana penyakit itu senang merebak ke negeri lain,” kata Inslee dalam satu kenyataan yang dibuat pada Jumaat lalu.

Inslee juga menyeru agar agensi dan jabatan yang berkenaan menggunakan sumber negeri yang ada untuk membantu kawasan yang terjejas.

Pegawai kesihatan turut melaporkan bahawa sebanyak 30 kes demam campak melibatkan kanak-kanak yang tidak diberikan imunisasi manakala empat yang lain belum disahkan.

Dari jumlah itu juga, 24 kes melibatkan kanak-kanak di antara umur 1 hingga 10 tahun dan sembilan kes disyaki berlaku di Clark County manakala satu kes dilaporkan berlaku di Seattle.

Menurut satu penyelidikan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, satu atau dua daripada 1,000 kanak-kanak maut kerana terkena demam campak.

Campak merupakan penyakit yang boleh merebak menerusi udara jika seseorang itu batuk dan bersin.

Demam panas, hidung tersumbat, keradangan mata dan ruam merah seluruh badan merupakan simptom-simptom penyakit itu.