Norway menzahirkan rasa marah tentang kadar kemusnahan hutan Amazon di Brazil walaupun selama sedekad lalu sudah menyumbangkan dana bernilai AS$1.2 bilion untuk usaha perlindungannya.

Reuters melaporkan, pemusnahan hutan Amazon di Brazil meningkat kepada 88 peratus pada Jun berbanding bulan yang sama setahun lalu. Ia merupakan bulan kedua berturut-turut berlaku peningkatan tahap kemusnahan di bawah pentadbiran Presiden Jair Bolsonaro.

"Kami khuatir tentang perkembangan terbaru di Brazil, dan laporan tentang kemusnahan hutan di Amazon,” ujar Kementerian Alam Sekitar dan Iklim Norway.

Norway telah banyak menyumbang ke dalam Dana Amazon Brazil. Jerman sudah memberikan AS$60 juta, dengan saluran AS$100 juta lagi daripada penyumbang lain yang mahu membantu Brazil.

"Norway mahu terus menjadi rakan kerjasama, walaupun kami menyedari pembatalan dana itu juga tidak mustahil,” tambah kementerian itu.

Hamparan hutan tropika Amazon merentangi tiga buah negara iaitu Colombia, Peru dan Brazil, dengan peratusan terbesar iaitu 60 peratus terletak di dalam Brazil.

Aktivis alam sekitar berkata, seruan pembangunan di Amazon oleh Bolsonaro dan kritikannya terhadap agensi alam sekitar yang mengenakan terlalu banyak denda, membuatkan lebih banyak syarikat pembalakan mengaut keuntungan di sebalik kemusnahan itu.

Menteri Alam Sekitar Brazil, Ricardo Salles, berkata bahawa negara itu akan mempertimbang semula peraturan dalam pemilihan projek yang disokong dana Amazon itu, selepas menyedari berlaku ketidaktelusan dalam perbelanjaan.

"Dari pandangan Norway, dana Amazon berfungsi dengan baik sehingga hari ini. Namun, situasinya berbeza sekiranya dana itu, yang menjadi inspirasi negara-negara lain yang memiliki hutan hujan, dihentikan.

“Dalam menjalin misi ini dengan Brazil, sebarang usaha yang melemahkan usahasama ini bukanlah satu pilihan,” kata kenyataan dari Norway.