Seorang wanita Brazil berusia 97 tahun yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini dilaporkan pulih daripada jangkitan virus itu.

Gina Dal Colleto dimasukkan ke hospital pada 1 April lalu selepas mengalami simptom-simptom virus itu, lapor Reuters.

Menurut kenyataan pihak berkuasa, Dal Colleto dipercayai mangsa tertua di negara Amerika Latin yang berjaya sembuh selepas diberi bantuan pernafasan dan menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi.

“Walaupun usianya hampir mencecah satu abad, dia sebelum ini dikatakan sangat aktif menjalani rutin harian seperti suka berjalan, membeli -belah dan memasak.

“Dia mempunyai enam orang cucu dan lima orang cicit,” kata kenyataan itu.

Kes itu, bagaimanapun, disifatkan sebagai satu harapan kepada negara itu meskipun kini dilaporkan hampir lumpuh akibat penularan COVID-19.

BACA: COVID-19: Korban di Brazil melebihi 1,000 orang

Dal Colleto, pada Ahad, mendapat tepukan gemuruh oleh barisan pegawai perubatan di hospital sebelum dibawa pulang ke rumahnya di bandar Santos.

Brazil, setakat Isnin mencatatkan 22,318 kes jangkitan dan 1,230 kematian akibat wabak itu.