SEORANG wanita yang telah pun diisytiharkan mati secara klinikal mengejutkan orang ramai apabila tiba-tiba bangun sebelum majlis pengebumiannya dijalankan.

Dalam insiden yang berlaku di perkampungan Muchchandi, India, wanita yang dikenali sebagai Malati Chougale itu dikejarkan ke sebuah hospital swasta oleh saudara-maranya kerana tidak sedarkan diri selepas mengalami demam panas.

Sebaik tiba di hospital terbabit, doktor dan kakitangan perubatan berusaha menyedarkan semula wanita berusia 55 tahun itu namun gagal sebelum diisytiharkan meninggal dunia.

Tidak lama selepas itu, pihak hospital meminta waris membawa pulang 'mayat' wanita itu ke rumah untuk proses pengebumian.

"Ketika sanak saudara memberikan penghormatan terakhir, wanita tersebut tiba-tiba terjaga sehingga membuatkan hadirin terkejut," kata seorang penduduk kampung.

Susulan itu, keluarga wanita terbabit bercadang menyaman hospital tersebut atas dakwaan cuai.

Sementara itu, jurucakap hospital menafikan dakwaan keluarga wanita terbabit.

"Dia sebenarnya dibenarkan meninggalkan hospital atas permintaan keluarga kerana mahu menghantarnya ke hospital lain.

"Kami tidak pernah mengisytiharkan kematiannya.

"Jadi, dakwaan petugas kami cuai amat mengecewakan," katanya.