Seorang wanita berusia 25 tahun yang mayatnya ditemui di dalam laci bawah katil didapati sedang mengandung ketika dia dibunuh oleh suaminya, seorang pemandu teksi.

Pakar forensik yang memaklumkan perkara itu turut menemui kesan jerutan pada leher wanita bernama Babita itu yang berasal dari Bihar, India.

“Wanita yang dibunuh itu sedang mengandung satu setengah bulan. Dia dicekik sehingga mati dan kesan tali jelas kelihatan di bahagian lehernya,” kata pakar kanan forensik, Dr Deepak Mathur kepada media tempatan.

Menurut polis, mangsa dikatakan tinggal bersama suaminya Rajesh di sebuah bilik yang disewa.

Pasangan itu telah berkahwin sejak 8 tahun lalu dan mangsa adalah seorang janda dan mempunyai anak bersama suami pertamanya.

Anak mangsa bagaimanapun tinggal dengan ibu bapa wanita itu.

Mayat Babita ditemui separuh reput pada Sabtu minggu lalu selepas jiran mengadu kehadiran bau tengik dari kediaman pasangan itu.

Polis mensyaki suaminya, Rajesh sebagai suspek utama selepas dia hilang sejak Isnin lalu.

Siasatan awal mendapati Rajesh sering meragui kejujuran isterinya yang dipercayai membawa kepada pembunuhan.

Mangsa juga dikatakan belum bercerai secara rasmi dengan suami pertamanya.

Suspek kini sedang diburu dalam operasi besar-besaran.