Tutup

Berita  | Dunia

Warga emas maut terjatuh 22 kaki dalam tiub lava di halaman rumah

Warga emas maut terjatuh 22 kaki dalam tiub lava di halaman rumah
Penyiasat memutuskan bahawa dia terjatuh melalui kawasan tanah lembut di halaman rumahnya sebelum menggelongsor ke tiub lava itu.
HAWAII: Seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh ke dalam laluan tiub lava di halaman rumahnya pada Isnin.

Pihak berkuasa yang mendapat maklumat kejadian bergegas ke rumah lelaki berusia 71 tahun itu yang terletak di Hilo, Hawaii.

Mangsa dipercayai menggelongsor jatuh ke dalam tiub lava itu ketika berjalan di kawasan tanah lembut di halaman rumahnya.

Bomba Hawaii yang dipanggil ke tempat kejadian mengeluarkan mangsa yang berada 22 kaki di bawah permukaan tanah.
Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Hilo namun disahkan meninggal dunia.

Autopsi yang dilakukan pada Selasa mengesahkan bahawa lelaki itu maut akibat 'kecederaan yang konsisten dengan terjatuh'.
Seorang saksi memberitahu portal Big Island Now, lelaki itu dilihat sedang memangkas ranting pokok di halaman rumahnya sebelum kemalangan itu berlaku.

Tiub lava boleh ditemui di banyak tempat di Hawaii. Ia terhasil apabila lapisan paling atas lava mengeras dan membentuk satu jaringan berupa terowong besar di bawah permukaan bumi.