Salah satu daripada 39 mayat yang ditemukan dalam kontena lori di Taman Perindustrian di Grays, Timur London dipercayai warga Vietnam.

Ia selepas seorang bapa mendakwa anaknya, Nguyen Dinh Luong, 20, mungkin terlibat ekoran tidak dapat menghubunginya sejak minggu lalu, lapor media tempatan.

Sebelum ini, anak lelakinya itu memberitahu bapanya untuk menyertai rombongan di Paris dan kemudian menuju ke England.

Tambahnya, anaknya telah keluar dari rumah di Ha Tinh bagi mencari kerja di Rusia pada 2017.

Terdahulu, polis United Kingdom memaklumkan 39 mayat yang ditemukan di dalam kontena sejuk beku di Essex pada Rabu lalu merupakan warganegara China.

BACA: Polis UK temui 39 mayat dalam lori kontena

Kesemua mangsa, lapan daripadanya wanita, dilaporkan tiba di kawasan perindustrian di Essex selepas memasuki negara itu melalui Holyhead di Wales dari Dublin pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, setakat ini dua keluarga dari Vietnam mengakui antara mayat yang ditemukan itu merupakan ahli keluarga mereka.

Ekoran kejadian, polis United Kingdom telah menahan empat suspek termasuk pemandu trak Mo Robinson, 25, bagi membantu siasatan.

Selain penahanan suspek, tiga kediaman di Ireland Utara diserbu Agensi Jenayah Kebangsaan bagi mengenal pasti pembabitan kumpulan jenayah terancang.