Waris dan saudara terdekat penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370, pada Ahad berkata mereka merancang untuk menghantar surat peribadi kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika beliau melawat Australia, bagi mendesak pencarian pesawat yang hilang itu diteruskan, lapor Reuters.

Liow dijadual mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan Australia, Darren Chester di Perth, lima hari selepas kedua-dua menteri dan rakan sejawatan dari China mengambil keputusan menggantung sementara misipencarian selama tiga tahun itu.

Pesawat Boeing 777 itu dilaporkan hilang pada Mac 2014 sewaktu dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur dan ketika itu membawa sejumlah 239 orang.

Kumpulan yang mewakili ah li keluarga anak kapal dan penumpang, Voice370, berkata wakil mereka akan menyampaikan surat-surat itu kepada Liow sama ada pada Ahad atau Isnin.

“Kami mahu mereka menyambung operasi pencarian. Mereka tidak boleh membiarkannya begitu saja,” ujar jurucakap Voice370 yang berpangkalan di Australia, Danica Weeks.

Chester dan Liow bakal membenarkan kapal pencari Fugro Equator untuk kembali ke Fremantle pada Isnin, sekali gus menghentikan operasi yang telah meneroka kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di dasar Lautan Hindi.

Malaysia, Australia dan China pada Julai tahun lalu bersetuju untuk menggantung sementara misi pencarian yang sudah menelan belanja sebanyak AS$145 juta itu.

Keputusan itu diambil jika pesawat berkenaan tidak dijumpai, atau jika bukti baharu yang boleh memberi petunjuk tentang lokasinya tidak mendatangkan hasil, sejurus lokasi itu sudah diperiksa.

“Keputusan tiga pihak untuk menghentikan sementara pencarian itu berikutan tiada bukti baharu tentang lokasi spesifik pesawat berkenaan bukan satu keputusan yang mudah,” ujar Chester dalam satu kenyataan kepada Reuters.

Australia masih tidak mendedahkan sbarang maklumat tentang perancangan pencarian untuk masa akan datang, dan Malaysia pada minggu ini menyatakan ganjaran akan diberikan jika fiuslaj ditemui oleh syarikat persendirian.