Berita  | Dunia

Wartawan muda berbakat BBC, Hanna Yusuf meninggal dunia secara mengejut

Wartawan muda berbakat BBC, Hanna Yusuf meninggal dunia secara mengejut
Dilahirkan di Somalia pada tahun 1992, Hanna dibesarkan di Netherlands dan menerima biasiswa Scott Trust bagi menyambung pengajiannya di peringkat Sarjana dalam bidang Kewartawanan di Universiti London pada 2017. - Gambar YouTube/@Star News
WARTAWAN berbakat BBC News, Hanna Yusuf, dilaporkan meninggal dunia secara mengejut pada usia 27 tahun.

Perkara itu disahkan oleh keluarga Allahyarham dalam satu kenyataan pada Isnin, bagaimanapun punca kematian Hanna tidak dimaklumkan.

Menurut kenyataan tersebut, pihak keluarga amat terkesan dan berduka dengan pemergian Allahyarham, selain meminta supaya diberikan ruang kepada mereka sekeluarga.

“Ramai akan mengenali Hanna atas sumbangan luar biasanya dalam dunia wartawan dan tempat kerjanya di BBC.

“Walaupun kami bersedih dengan kehilangannya, (namun) kami berharap legasi Hanna akan menjadi inspirasi dan pembakar semangat kepada rakan sekerja dan komuniti, dan kenangan indah beliau akan terus diingati,” demikian menurut kenyataan tersebut.


Sementara Pengarah BBC News, Fran Unsworth menyifatkan pemergian Hanna sebagai kehilangan besar dalam dunia wartawan.

“Hanna Yusuf adalah seorang wartawan muda berbakat yang sangat dikagumi di seluruh BBC dan ucapan takziah kami kepada seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya memetik Telegraph.

Hanna mencipta nama dalam dunia wartawan kerana artikel-artikel penyiasatan yang dihasilkan beliau termasuk laporan pendedahan mengenai nasib pekerja Costa Coffee yang didakwa tidak dibayar cuti sakit dan cuti tahunan, dan bekerja di luar kontrak.

Dilahirkan di Somalia pada tahun 1992, Hanna dibesarkan di Netherlands dan menerima biasiswa Scott Trust bagi menyambung pengajiannya di peringkat Sarjana dalam bidang Kewartawanan di Universiti London pada 2017.

Sebelum menyertai BBC, Hanna menulis untuk penerbitan seperti Guardian, The Independent, The Times, Berita Islam, the Pool dan Majalah Grazia.




Tag: London, Hanna Yusuf, Wartawan meninggal dunia, Wartawan BBC meninggal dunia, Hanna Yusuf meninggal, Wartawan muda berbakat, Kewartawanan, artikel penyiasatan, BBC, wartawan, meninggal dunia, Somalia



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.