Sedih dan kejam!

Seorang wartawan penyiaran wanita diperkosa dan dibunuh di utara bandar Ruse, Bulgaria kata pendakwa raya dan menteri semalam.

Menurut pendakwa raya Georgy Georgiev, mayat mangsa Viktoria Marinova, 30 tahun, ditemui pada Sabtu lalu berhampiran satu kawasan taman riadah di Danube, Ruse.

Tambahnya lagi, kematian wartawan penyiaran itu disebabkan oleh hentakan di kepala dan lemas serta turut dipercayai berlaku pada siang hari.

“Telefon mudah alih, kunci kereta, cermin mata dan sebahagian pakaian mangsa didapati hilang,” kata Georgiev yang turut menyatakan pihak pendakwa raya sedang meneliti semua kemungkinan, butiran peribadi mahupun kerjaya Marinova.

Menteri Dalam Negeri, Mladen Marinov ketika ditemubual oleh wartawan mengesahkan bahawa mangsa turut diperkosa.

Marinova mengendalikan sebuah program bual bicara hal ehwal semasa yang dikenali sebagai “Detector” untuk sebuah stesen televisyen swasta kecil, TVN di Ruse yang dilancarkan semula baru-baru ini.

Di dalam episod pertama pada 30 September lalu, Marinova mewawancara bersama wartawan penyiasatan, Dimitar Stoyanov dari laman web Bivol.bg dan Attila Biro dari Rise Project Romania, mengenai siasatan dakwaan penipuan membabitkan dana Kesatuan Eropah (EU) yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dan ahli politik ternama.

Pasangan itu ditahan pihak polis ketika cuba menghentikan proses memusnahkan dokumen yang dikaitkan dengan skim berkenaan dan sekali gus mengundang kecaman Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).

Oktober lalu, wartawan penyiasat terkenal Malta, Daphne Caruana Galizia terbunuh apabila keretanya diletupkan bom dan wartawan Slovakia, Jan Kuciak ditembak mati pada bulan Februari.

Bulgaria menduduki tangga ke-111 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Jurnalis Tanpa Batasan Dunia pada tahun ini. Ia lebih rendah daripada ahli EU lain dan juga lebih rendah daripada negara lain di Balkan barat.

Pada bulan Oktober 2017, ratusan wartawan Bulgaria memprotes di tengah-tengah pusat bandar Sofia kerana menentang ancaman dari Valeri Simeonov, salah seorang Timbalan Perdana Menteri Bulgaria, terhadap media penyiaran terbesar di negara berkenaan.