Berita  | Dunia

Wartawan siasat skandal rasuah bola sepak mati ditembak

Wartawan siasat skandal rasuah bola sepak mati ditembak
Media tempatan Ghanaweb melaporkan FIFA menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan berita pembunuhan Ahmed Hussein.
ACCRA: Seorang wartawan Ghana yang terbabit dalam pendedahan skandal rasuah liga bola sepak negara itu mati ditembak berhampiran kediamannya di Accra dalam satu kejadian pada Rabu malam.

Ahmed Hussein-Suale dilaporkan ditembak dua kali di bahagian dada dan satu di leher, pada jarak dekat, oleh seorang lelaki menaiki motosikal, dipercayai pembunuh upahan.

Media tempatan melaporkan, pembunuhan Ahmad Hussein dipercayai ada kaitan dengan pendedahan skandal rasuah Persatuan Bola Sepak Ghana (GFA).

Pendedahan yang dilakukan beliau telah membawa kepada pengharaman seumur hidup bekas presiden GFA oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Peguam mangsa, Kissi Agyebeng mendedahkan, Ahmed Hussein turut menganggotai pasukan penyiasat Tiger Eye PI dan pernah menerima ugutan bunuh sebelum ini.

Presiden Ghana, Nana Akufo-Addo menerusi perkongsian di Twitter miliknya menyifatkan pembunuhan tersebut sebagai satu jenayah kejam.

Polis bagaimanapun masih belum berjaya membuat sebarang tangkapan.

Sementara itu, FIFA dalam kenyataannya menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan berita pembunuhan Ahmed Hussein.

FIFA turut mengucapkan takziah kepada keluarga wartawan berkenaan dan berharap pihak berkuasa Ghana akan menangkap serta menghukum pihak yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu.

Persekutuan itu turut menyatakan sokongan kepada usaha wartawan menjalankan tugas pendedahan, khususnya membabitkan skandal rasuah dalam sukan bola sepak.

Tindakan itu, jelas FIFA lagi, akan meningkatkan tadbir urus yang baik dalam badan sukan bola sepak di seluruh dunia.