Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau memberikan mesej jelas bahawa beliau tidak akan mengurangkan kadar cukai dan mempermudahkan birokrasi untuk bersaing dengan Amerika Syarikat.

Trudeau turut menggesa pemimpin korporat untuk mengutamakan pekerja dan bukan keuntungan serta meningkatkan usaha untuk memperkasa wanita di tempat kerja.

“Terlalu banyak syarikat yang mengutamakan keuntungan, mengatasi kebajikan pekerja. Tetapi amalan itu sudah tidak sesuai lagi,” jelas Trudeau dalam ucapan khas beliau pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2018 di Davos.

Trudeau kini berdepan tekanan daripada komuniti korporat di Kanada yang mendesak agar kadar cukai dan peraturan di negara terbabit dilonggarkan bagi menyamai apa yang disifatkan sebagai reformasi daya saing yang dilaksanakan pentadbiran Donald Trump di AS.

Dalam ucapannya juga, Trudeau mengetengahkan isu keadilan dan kesamarataan.

“Rakyat diperguna, kehilangan kerja dan kehidupan.

“Pada masa sama, syarikat cuba elak cukai dan mencatatkan keuntungan besar dengan mengurangkan sumbangan kepada masyarakat,” jelasnya.

Beliau juga menyatakan persoalan sama ada dunia boleh membiarkan golongan kaya bersikap mementingkan diri ketika golongan miskin terpaksa bergelut.

“Kita patut tanya kepada diri sendiri, adakah kita mahu untuk hidup di kawasan perumahan mewah dan hanya menyaksikan orang lain bertungkus-lumus?”

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Oxfam mengeluarkan data terkini mengenai kesamarataan global.

Data itu menunjukkan 82 peratus kekayaan dunia yang direkodkan tahun lalu dikongsi oleh hanya satu peratus golongan paling kaya dunia.

Sementara 3.7 bilion populasi dunia lain, yang mewakili golongan paling miskin dunia masih di tahap kemiskinan yang sama.