Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berharap kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) akan berterusan walaupun negara itu memutuskan hubungan dengan agensi kesihatan dunia itu minggu lalu.

Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Grebeyesus berkata dunia telah banyak mendapat manfaat daripada kerjasama kukuh dengan kerajaan dan rakyat AS.

Dalam sidang akhbar pada Isnin di Geneva, Dr Tedros menyatakan sumbangan AS terhadap kesihatan global selama beberapa dekad sangat besar dan telah memberi impak kepada kesihatan awam dunia.

"Saya akan menyimpulkan dengan mengatakan bahawa kami telah menerima pertanyaan mengenai pengumuman pada Jumaat oleh Presiden Amerika Syarikat.

"Dunia telah lama mendapat manfaat daripada kerjasama kolaborasi yang kuat dengan pemerintah dan rakyat Amerika Syarikat.

"Sumbangan dan kemurahan Kerajaan AS dan rakyatnya terhadap kesihatan global selama beberapa dekad sangat besar dan telah membuat perbezaan ketara dalam kesihatan awam di seluruh dunia.

"Adalah harapan WHO agar kerjasama ini dapat diteruskan," katanya.

Jumaat lalu, Presiden AS, Donald Trump mendakwa WHO gagal untuk menangani jangkitan COVID-19 dengan baik serta mendakwa China mempunyai pengaruh kuat ke atas pertubuhan itu.

Trump turut menuduh pegawai China gagal melaporkan mengenai jangkitan awal virus itu kepada WHO dan pertubuhan itu juga membuat laporan yang salah virus itu pertama kali dikesan.

AS merupakan penyumbang dana terbesar kepada WHO dengan AS$400 juta, berbanding China hanya AS$40 juta setahun.

Dalam pada itu, Dr Tedros menegaskan WHO turut mengesahkan penularan wabak ebola kedua di Congo sekali gus menambah satu lagi krisis kesihatan bagi negara yang sedang menghadapi COVID-19 dan wabak campak terbesar di dunia itu.

"Pemerintah republik demokratik Congo hari ini mengumumkan bahawa penularan baharu virus ebola telah dikesan dekat Kota Mbandaka di wilayah Equateur.

“Pengumuman itu disusuli wabak ebola yang kompleks di timur DRC yang dilihat seperti fasa terakhir.

"Terbaharu berada di bahagian lain di DRC, barat DRC. WHO akan terus menyokong DRC dalam menangani ebola dan COVID-19 serta wabak campak,” katanya.

Dr Tedros juga berkata, Congo belum mengisytiharkan secara rasmi wabak ebola telah tamat di timur negaranya di mana lebih 2,000 telah meninggal dunia sejak Ogos 2018.

Ujarnya, kes ebola baharu juga dikesan di utara Mbandaka di wilayah Equateur di mana pihak berkuasa kesihatan Congo telah mengenal pasti enam kes di lokasi itu.