PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan krisis wabak Ebola di Republik Congo sebagai sebuah situasi kecemasan yang harus diambil perhatian oleh seluruh masyarakat antarabangsa.

Menurut portal berita BBC, pengisytiharan tersebut ialah untuk menggalakkan negara-negara kaya menyumbang dana bagi menangani situasi tersebut.

Setakat ini, lebih 1,600 individu maut akibat wabak tersebut.

“Sudah tiba masanya untuk seluruh dunia mengambil tahu,” kata Pengarah Am WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sebuah sidang media di Geneva pada Rabu.

Pengisytiharan tersebut turut mendapat sokongan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa yang menegaskan, krisis berkenaan amat memerlukan perhatian daripada seluruh dunia.

Wabak yang telah bermula sejak tahun lepas itu merupakan wabak kedua terbesar dalam sejarah.

Lebih 2,500 individu telah disahkan terjangkit dengan Ebola yang mana dua pertiga daripada jumlah itu meninggal dunia.

Konflik yang sedang berlaku di kawasan tersebut merumitkan lagi keadaan, dengan lebih 198 kes serangan terhadap kakitangan kesihatan atau kemudahan kesihatan di Republik Congo.

“Perkara ini berlaku kerana warga tempatan tidak percaya terhadap warga asing yang datang dari luar,” kata Trish Newport, seorang sukarelawan organisasi Medecins Sans Frontiers.