Tutup

Berita  | Dunia

Wilayah Ehime, 'syurga' buat komuniti sukan

Wilayah Ehime, 'syurga' buat komuniti sukan
Budaya sihat dengan bersukan menjadi rencah harian penduduk Ehime. - Astro AWANI/Faris Danial Razi
MEMANG jatuh cinta dibuatnya!

Dengan dikelilingi lautan yang terbentang luas serta gunung-ganang yang melengkapi pemandangan indah, pastinya menjadi pengalaman yang sukar dilupakan bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di wilayah Ehime, Jepun.

Wilayah Ehime, terletak di dalam sebuah kepulauan Shikoku yang menjadi salah satu daripada empat pulau utama di Jepun.

Dalam pada itu, bandar Matsuyama yang menjadi ibu kota Wilayah Ehime, mempunyai populasi melebihi 500,000 penduduk dan ia juga mengambil masa 1 jam 20 minit penerbangan dari Tokyo jika pengunjung inginkan mencuba satu pengalaman yang cukup berbeza.
Ya benar, tak kenal maka tak cinta, namun apa yang boleh digambarkan sendiri, Ehime seolah-olah memberikan suasana atau perspektif yang cukup membuka mata dek kerana keterujaan dengan gaya hidup mereka yang bukan sahaja peramah dan lebih bersederhana, malah turut menitikberatkan gaya hidup sihat.

Ini kerana, meskipun ia bukan seperti bandar besar di Tokyo, Fukuoka, Osaka dan sebagainya namun jika anda ingin melihat negara terbit matahari ini dari sudut yang berbeza, pastinya Ehime yang perlu anda lawati selepas ini kerana semangat kesukanan yang dipupuk oleh penduduk di sini adalah sesuatu yang berharga untuk dikongsikan.


Semangat dan kesungguhan

Sememangnya Jepun bakal menjadi tuan rumah bagi menganjurkan Sukan Tokyo Olimpik 2020 namun semangat atau kesungguhan mereka dalam mengamalkan budaya hidup sihat adalah sesuatu yang menarik perhatian orang luar dan telah dipupuk sejak dahulu lagi.

Bayangkan, sebuah kompleks sukan terbesar di bandar Matsuyama, iaitu Ehime Prefectural Budokan, menjadi salah satu lokasi tumpuan yang paling ramai dikunjungi orang tempatan kerana semangat kesukanan mereka yang tinggi.

Bukan itu sahaja, kompleks sukan yang sudah dibina sejak 16 tahun lalu ini menjadi rumah buat komuniti sukan sekali gus merupakan tempat kem latihan rasmi bagi atlet Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi persediaan acara Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Dibina dengan kayu yang berpuluh-puluh tahun usianya, Ehime Prefecture Budokan ini tueut terbuka kepada orang ramai tidak kira sama ada ingin menjalankan sesi latihan fizikal ataupun menyertai kelas seni mempertahankan diri seperti Judo, Kendo dan banyak lagi.

Jika dilihatkan suasana di dalam kompleks sukan tersebut, mahupun anak-anak kecil yang berusia dalam lingkungan 4-5 tahun sehinggalah warga emas, semuanya mempunyai misi yang sama iaitu bersukan.



Mentaliti sukan di Ehime

Sukan badminton di Jepun, semakin menunjukkan kemajuan kerana ia merupakan salah satu sukan yang disasarkan bakal membawa pulang kelima-lima pingat emas dari Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Namun, oleh kerana penduduk di sini mempunyai mentaliti sukan secara menyeluruh, beberapa sukan seperti besbol, bola keranjang dan bola sepak juga menjadi sukan pilihan.

Tidak ketinggalan juga acara maraton, oleh kerana aktiviti berjogging sudah menjadi aktiviti harian mereka di sini, hampir 10,000 peserta menyertai acara sukan maraton setiap kali ia dianjurkan di wilayah Ehime.

Selain itu, aktiviti berbasikal juga cukup popular sehinggakan mereka mempunyai satu laluan khas yang terletak di bandar Imabari, bagi penunggang basikal berkayuh dari sebuah pulau ke beberapa buah pulau yang lain.

Mereka menggelarnya sebagai 'Cycling Paradise' (syurga pengayuh basikal) oleh kerana pemandangan yang boleh dinikmati oleh penunggang basikal melalui Shimanami Kaido yang menghubungkan Ehime dengan Hiroshima sepanjang 70 kilometer ini benar-benar memukau.

Pada masa sama, dengan pelbagai aktiviti yang diadakan, mereka turut menganjurkan Mesyuarat Atlet Kebangsaan dan beberapa pertandingan khas bagi atlet sukan di seluruh dunia seperti perlawanan persahabatan dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, Persatuan Badminton Ehime juga turut menggalakkan atlet Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjalani sesi latihan dan sehingga kini mempunyai hubungan baik dengan atlet-atlet di Malaysia sehinggakan sentiasa melihat ke hadapan untuk bekerjasama dengan atlet dari negara kita.



Variasi tarikan

Sejujurnya, apa yang menjadi tarikan bukan sahaja asal-usul sejarah dan nilai tradisi malahan komuniti sukan di sini turut menjadi inspirasi bagi orang luar terutama bagi mereka yang menjadikan sukan sebagai satu gaya hidup. 

Tidak lupa juga, antara fakta menarik di Ehime turut menjadi pengeluar bagi buah oren yang dinamakan sebagai “Unshu Mikan” dan di Malaysia sahaja, mereka telah mengeksport hampir lebih 10 tan buah tersebut.

Manakala Hong Kong pula menjadi destinasi eksport terbesar mereka, dan diikuti dengan beberapa negara lain seperti Singapura, Taiwan, Macau, Kanada dan di benua Eropah.

Terlalu banyak tarikan sekiranya ingin disenaraikan, ini kerana bandar ini sememangnya kaya dengan sejarah dan nilai tradisi yang masih lagi dikekalkan sehingga kini seperti Istana Matsuyama dan juga kolam air panas tertua di Jepun, Dogo Onsen.

Ambillah peluang sementara masih sihat dan aktif ini dengan mengelilingi dunia andai ingin mengenali dunia.