Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk telah disaman oleh penyelam gua British, Vernon Unsworth, yang memainkan peranan penting dalam misi menyelamat sekumpulan remaja dan jurulatih yang terperangkap di dalam sebuah gua yang banjir di Thailand.

Musk menggelarkan Unsworth sedemikian selepas penyelam itu mengkritik cadangan penggunaan 'kapal selam' milik Musk untuk membantu usaha menyelamat mangsa yang terperangkap di dalam Gua Tham Luang.

Musk kemudiannya bertindak balas mengeluarkan satu kenyataan dengan memanggil Unsworth seorang pedofil tanpa bukti yang kukuh dan sejurus itu, Unsworth mengancam untuk menyaman Musk atas sebab menfitnahnya

"Saya berharap dia menyaman saya," kata Musk dalam e-mel yang dihantar kepada wartawan Buzzfeed News pada akhir Ogos yang lalu.

Sejurus kenyataan itu dikeluarkan, Unsworth telah mengemukakan saman fitnah terhadap Musk di mahkamah Los Angeles. Unsworth kemudiannya meminta ganti rugi sekurang-kurangnya AS$75,000 (RM310,000) dan berkemungkinan jumlah tersebut akan bertambah.

Pada Julai lalu, jurutera yang bekerja untuk Musk membina sebuah kapal selam kecil yang diharapkan dapat membantu usaha menyelamat. Kapal selam kecil tersebut ternyata tidak diperlukan kerana misi menyelamat itu hampir selesai sebelum Musk boleh menghantar alat tersebut ke Thailand.

Unsworth memberitahu CNN bahawa alat itu 'sama sekali tidak mempunyai peluang untuk beroperasi', walaupun ia tiba tepat pada waktunya. Ini kerana ia terlalu panjang dan sukar untuk memasuki ruang sempit di dalam gua tersebut, katanya.

Musk yang marah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Unsworth, menulis di Twitternya untuk membuktikan bahawa kapal selam itu boleh memasuki gua.

"Maaf lelaki pedo, awak benar-benar memintanya," dia tweet.

Musk meminta maaf untuk tweet tersebut beberapa hari kemudian, tetapi beliau menafikan permintaan maaf tersebut pada minggu berikutnya.

Dalam satu permintaan daripada Buzzfeed untuk mengulas tentang isu tersebut pada awal September, Musk dilaporkan sekali lagi menggunakan perkataan menghina terhadap Unsworth.

Buzzfeed bertindak mendedahkan komen terbaharu Musk terhadap Unsworth itu kerana tidak pernah terikat untuk merahsiakannya.

Dalam e-mel tersebut, Musk berkata: "Saya mencadangkan awak menghubungi orang yang awak kenal di Thailand dan cari apa yang sebenarnya berlaku, serta berhenti untuk menyebelahi 'perogol kanak-kanak' itu."

Musk juga menggunakan kata-kata kesat untuk mengakhiri komennya itu.