Harapan untuk mewujudkan 'Zon Selamat' di selatan Thailand tidak akan menjadi kenyataan sekiranya kumpulan militan gagal menghentikan keganasan di kawasan khas yang telah ditetapkan, kata Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha pada Selasa.

Beliau menegaskan usaha untuk mewujudkan zon khas di wilayah selatan itu tidak hanya bergantung kepada kerajaan tetapi juga sama ada pihak yang menentang boleh menjamin sebuah kawasan yang bebas daripada keganasan.

"Kami sememangnya mahukan keselamatan tetapi ia bergantung kepada pihak yang satu lagi, sama ada mereka berupaya menjamin (tiada keganasan di kawasan itu). Kerajaan sudah tentulah tidak akan memulakan tembakan terlebih dahulu," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet di sini pada Selasa.

Kerajaan, menurut beliau, tidak mahu sesiapapun kehilangan nyawa atau tercedera akibat daripada konflik di selatan Thailand.

Prayut diminta mengulas tentang perkembangan terkini rundingan damai antara kerajaan dan kumpulan militan dengan Malaysia selaku pemudahcara, terutamanya berkaitan usaha untuk mewujudkan sebuah 'Zon Selamat' dalam daerah di selatan Thailand.

Laporan media baru-baru ini membayangkan kedua-dua pihak semakin hampir mencapai persetujuan bersejarah berhubung pengwujudan Zon Selamat.

Kumpulan militan diwakili Majlis Syura Patani (MARA Patani) dalam rundingan damai itu, sungguhpun kerajaan menahan diri daripada mengiktiraf secara rasmi kumpulan itu, dan sebaliknya, merujuk kepadanya sebagai 'Pihak B' atau 'pihak dengan pandangan berbeza.'

Perdana menteri yang memulakan pusingan terkini rundingan damai selatan Thailand susulan rampasan kuasa lebih tiga tahun lepas, juga berkata rundingan itu telah mencapai kemajuan tetapi kejayaan selanjutnya bergantung kepada cadangan oleh kedua-dua pihak.

Mengenai masa depan rundingan damai pasca pilihan raya umum, yang dijangkakan banyak pihak bakal berlaku sama ada tahun ini atau awal tahun depan, Prayut berkata ia akan menjadi tanggungjawab kerajaan seterusnya yang dipilih.

Sejak 2004, persengketaan bersenjata di selatan Thailand, terutamanya di tiga wilayah paling selatan iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat telah mengorbankan nyawa kira-kira 7,000 mangsa, kebanyakannya orang awam, menurut sebuah kumpulan bukan kerajaan yang memantau konflik itu.

-- BERNAMA