Nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar memboikot pihak peniaga yang mengeksploitasi pengguna dipersendakan oleh beberapa anggota pembangkang.

Ia susulan kenyataan Najib dalam wawancara pada Khamis yang berkata rakyat boleh menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna dengan tidak membeli barangan yang dijual oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab dalam pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Antara yang mempersoalkan cadangan boikot itu adalah Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

"Bagaimana hendak tolak?

"Setiap kedai ada dikenakan GST, semua barangan dikenakan GST. Saya tidak faham apa yang PM katakan.

"Adalah tidak masuk akal untuk kerajaan menyeru untuk memboikot mana-mana kedai atau produk," kata Naib Presiden PKR itu ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah pula berkata penyelesaian kepada masalah GST bermula dengan langkah tadbir urus yang bertanggungjawab oleh kerajaan.

"Sekiranya kerajaan itu sendiri dibelenggu dengan banyak persoalan, tidak konsisten dan selalu bercanggah kenyataan mengenai GST, bagaimana kita boleh harapkan rakyat tidak dieksploitasi?"

Beliau juga memberitahu Astro AWANI bahawa kerajaan pada mulanya berkata GST akan dikenakan pada kadar empat peratus dan kemudiannya telah ditukar kepada enam peratus.

"Kami juga pada awalnya sudah menuntut pengecualian cukai untuk aspek kesihatan, termasuk peralatan perubatan, ubat-ubatan, pendidikan dan buku-buku.

"Kerajaan dari awal telah mengabaikan tuntutan dan permintaan dari pihak-pihak yang berkepentingan.

"Kerajaan hanya memutuskan untuk menimbang semula permintaan pengecualian cukai kepada semua buku empat hari sebelum pelaksanaan GST," katanya sambil menjelaskan tingkah laku yang tidak bertanggungjawab seperti itu telah menghakis imej kerajaan sebagai pihak yang bertanggungjawab.

Perdana Menteri pada Khamis dalam satu temu bual khas telah menjawab pelbagai soalan tentang beberapa isu yang diutarakan oleh pelbagai pihak termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menegaskan bahawa keutamaan beliau ialah kepada rakyat dan negara, Najib menjawab segenap aspek persoalan dan kritikan terhadap pentadbiran beliau, meliputi isu pengurusan 1MDB, pelaksanaan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia), kes pembunuhan Altantuya, Akta Hasutan, POTA (Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan) dan prospek ekonomi negara.

“Kalau pihak itu tidak sepatutnya kenakan GST, tolong lapor kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (Koperasi dan Kepenggunaan). Di sini letaknya kuasa pengguna.

“Kita mesti tahu kita ada kuasa. Kuasa pertama kita boleh pilih mana-mana kedai yang kita hendak beli barangan ataupun kedai-kedai makan, kita boleh pilih. Jadi kedai-kedai yang tak bertanggungjawab yang sengaja menaikkan harga, lepas itu menyalahkan pihak kerajaan.

“Kita janganlah pergi ke kedai itu. Banyak kedai lain. Kedai alternatif lain. Yang kedua kita mesti lapor kepada kementerian dan pihak kastam. Jadi gunakan kuasa sebagai pengguna. Lambat laun, mereka yang mengeksploitasikan keadaan ini, mereka akan kehilangan pembeli," kata Najib dalam wawancara itu.

Turut bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau dalam Twitternya berkata rakyat perlu menggunakan kuasa 3M iaitu memilih, melapor dan memboikot.