Cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak perlu dikenakan terhadap mana-mana kad tambah nilai prabayar kerana sudah terdapat cukai dikenakan dalam setiap kad itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, berkata isu berhubung kad tambah nilai prabayar yang dikenakan GST syarikat telekomunikasi akan dibawa untuk perhatian Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Katanya, perkara itu perlu diteliti dan diselesaikan bagi memastikan tidak wujud sebarang kekeliruan dalam kalangan pengguna yang menggunakan perkhidmatan terbabit.

Klik untuk segala berita mengenai GST


"Saya akan bawa isu ini kepada pihak Kastam kerana saya melihat sudah ada arahan (mengenakan GST) daripada ibu pejabat syarikat telekomunikasi," ujar Hasan,

Dalam perkembangan berkaitan, Hasan mengajak rakyat di seluruh negara menjadi pengguna bijak yang membuat pilihan dan perbandingan harga sebelum membeli.

Dalam masa yang sama, peniaga pula perlu menjalankan perniagaan mengikut etika dan tidak sesuka hati menaikkan harga serta mengenakan cukai sehingga membebankan pengguna.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menyaran pengguna menukar syarikat perkhidmatan penyedia telekomunikasi jika ada syarikat yang masih berdegil mengenakan caj GST 6 peratus.

Beliau berkata pihaknya sudah menghantar surat saranan kepada syarikat telekomunikasi untuk menarik semula caj GST kepada pengguna.