Baru-baru ini, sekumpulan artis terkenal terdiri dari selebriti Mizz Nina, Noh Hujan, Aizat Amdan, Faizal Tahir dan Mu’adz Dzulkefly mengadakan konsert kemanusiaan #1moment4them di Universiti Yarmouk bagi mengutip dana untuk membantu anak-anak pelarian Syria di Jordan.

Menariknya, perjalanan konsert kemanusiaan anjuran Fatiha Shuib & Friends himpunan selebriti terkenal tanah air ini melalui pelbagai momen dan cabaran menarik.

1) Fatiha Shuib, pengasas kepada Fatiha Shuib & Friends tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam penganjuran konsert berskala besar ditambah melibatkan artis terkenal.

Berusia 23 tahun, lulusan Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Mu’tah, Jordan itu memberanikan diri dan mengambil risiko menghimpunkan nama-nama besar dalam industri muzik ini dengan berbekalkan idea dan doa sahaja.

Idea untuk mengadakan konsert ini juga bermula apabila beliau mengemas kini status Facebook peribadinya. Ketika itu, beliau tidak mempunyai sebarang modal, pekerjaan dan wang penajaan.

Fatiha Shuib, Pengasas Fatiha Shuib & Friends

2) Terdapat sebuah sekolah khusus untuk pembelajaran anak-anak Syria, dibina hasil usaha dan sumbangan eksklusif pelajar-pelajar Malaysia di Jordan iaitu Sekolah Arab Malaysia dan akan dibuka tidak lama lagi.

Delegasi artis bersama pelajar Sekolah Arab Malaysia

3) Lagu hit Assalamualaikum dendangan Faizal Tahir mendapat sambutan anak-anak Syria dan mereka turut menari dan menyanyikan lagu itu walaupun tidak memahami bahasa Malaysia. Delegasi artis dibawa melawat ke kem pelarian Syria untuk menghibur sambil mendengar keluhan masyarakat pelarian Syria.

Faizal Tahir hiburkan anak-anak Syria

4) Respon luar biasa penonton untuk Konsert Kemanusiaan #1moment4them mendapat sambutan luar biasa dari pelajar-pelajar Malaysia walaupun pada musim peperiksaan dan memenuhi dewan di Universiti Yarmouk.

5) Selepas 10 minit konsert bermula, penyanyi Faizal, Aizat, Noh dan Mu’adz mendapat ilham saat-saat akhir dan mencipta lagu dan lirik “Kullu Hubbi Minna Lahum” yang bermaksud “Setiap Kasih dan Sayang adalah dari Kami untuk Anda” dinyanyikan secara kejutan buat penonton.

6) Faizal Tahir bertindak membuka kasut sukan New Balance edisi terhad untuk dilelong dan mendapat hasil lelongan paling tinggi pada malam itu iaitu 700 dolar Jordan bersamaan RM3,500. Pembida, seorang pelajar mengeluarkan duit persediaan untuk hantaran kahwin demi dana masyarakat Syria.

Kasut raya New Balance Faizal Tahir yang dilelong 700JD

7) Mu’adz Dzulkefly, satu-satunya penyanyi nasyid dalam kumpulan artis ini mempersembahkan lagu dan formasi flash mob bersama FlashMobbers pelajar-pelajar Jordan tanpa mengadakan latihan bersama. Pelajar belajar formulasi melalui YouTube.

StandUp Flashmobber Jordan mengiringi Mu'adz

8) Hasil jualan, sumbangan dan lelongan untuk konsert #1moment4them mencecah RM62,500 dan akan disalurkan terus kepada badan NGO Ikram For Syria Jordan untuk bantuan kemanusiaan rakyat Syria di Jordan.

9) Ini adalah satu-satunya projek kemanusiaan luar negara yang pertama buat penyanyi Langit Tetap Biru Aizat Amdan, yang merupakan impiannya sebelum ini untuk membantu isu-isu kemanusiaan untuk rakyat Palestin dan Syria.

Aizat Amdan ambil foto bersama anak Syria

10) Ribut pasir yang kuat melanda ibu negara Amman, Jordan pada malam konsert namun bandar Irbid di mana langsungnya konsert tidak mengalami ribut pasir itu. Ekoran ribut pasir, penerbangan Noh Hujan dan isterinya Mizz Nina tergendala selama empat jam. Namun tidak mematahkan semangat Noh untuk busking di lapangan terbang Queen Alia Jordan. Noh dan Nina terpaksa pulang awal atas sebab undangan kerja yang lain.