JUARA Akademi Fantasia musim ketiga, Mawi teruja apabila ditawarkan untuk menjadi penyampai radio di sebuah stesen radio yang akan memulakan operasi bulan depan.

Kata Mawi, dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran tersebut memandangkan dia pernah memendam hajat untuk menjadi penyampai radio sejak mula menyertai Akademi Fantasia 12 tahun lalu.

"Sebelum menjadi artis saya memang bertugas sebagai seorang juruhebah di pasar raya sekitar Johor manakala pada hujung minggu pula dijemput menjadi juruacara majlis kahwin dan kenduri-kendara.

"Apabila berjaya menjadi peserta Akademi Fantasia tahun 2005, saya rasakan peluang untuk menjadi penyampai radio seperti Nana Mahazan dan Adifashla semakin cerah.

"Namun, saya tersingkir awal pada konsert prelude dan kembali ke Johor untuk menjadi juruhebah di pasar raya seperti sebelumnya.

"Nasib menyebelahi saya apabila dimasukkan semula ke dalam AF bersama Marsha dan perjalanan itu mengubah hala tuju saya menjadi seorang penyanyi hingga hari ini.

"Tetapi, ketika ditawarkan untuk menjadi penyampai radio di sebuah stesen radio yang baru, menjadi perintis pula, saya rasa ini peluang saya untuk kembali mengejar cita-cita," katanya pada majlis kesyukuran di Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Stesen radio yang berteraskan gaya hidup muslim moden kontemporari itu akan memulakan siaran pada Oktober menerusi frekuensi 104.9 fm.

Selain Mawi, stesen radio yang bernaung di bawah Astro itu turut dikendalikan oleh Anas Tahir, Lin Ariffin, Raqib dan Falyq.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @cahayaasmawi