Tutup

5 filem patriotik adaptasi kisah benar... wajib tonton!

5 filem patriotik adaptasi kisah benar... wajib tonton!
Lima filem patriotik adaptasi kisah benar yang wajib ditonton bersempena Hari Kebangsaan. - Astro GEMPAK
MENONTON filem-filem patriotik sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat kenegaraan kita sebagai rakyat Malaysia.
 
Pengisian filem patriotik tidak hanya berkisarkan tentang perperangan, malah semangat juang juga turut diangkat menjadi tema sesebuah filem.

Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-61 yang bakal diraikan esok, Gempak menyenaraikan lima filem patriotik adaptasi kisah benar yang wajib ditonton bersempena Hari Kebangsaan!

1. Bukit Kepong

Filem Bukit Kepong yang ditayangkan pada 1981 ini berkisarkan mengenai perjuangan pihak polis menentang komunis. Diangkat dari kisah benar yang terjadi pada tahun 1950, filem arahan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin ini dilakonkan oleh beliau sendiri bersama Allahyarham Hussein Abu Hassan, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.
2. Leftenan Adnan

Filem arahan sutradara profilik Aziz M Osman ini telah diterbitkan pada tahun 2000. Menampilkan garapan kisah benar Leftenan Adnan Saidi yang terjadi semasa Perang Dunia Kedua, filem ini membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Hairie Othman, Datin Seri Umie Aida, Faizal Hussein, Rusdi Ramli dan ramai lagi.
3. Paloh

Menggarap kisah benar penduduk daerah Paloh yang terletak di Johor, filem arahan Adman Salleh ini ditayangkan pada tahun 2003. Mengangkat kisah penduduk Tanah Melayu yang terpaksa hidup dalam tekanan akibat berlakunya konfrontasi antara pihak tentera Jepun dengan Parti Komunis Malaya, Paloh dibintangi oleh Janet Khoo, Nam Ron, Ellie Suriaty dan ramai lagi.

4. 1957: Hati Malaya

Diterbitkan pada tahun 2007 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-50, filem hebat ini diarahkan oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba. Berkisarkan mengenai golongan muda tempatan yang berusaha untuk menerbitkan sebuah buku bergambar yang bertajuk 1957 - Hati Malaya, filem ini turut menyelitkan kisah benar mengenai perjuangan untuk mencapai kebebasan.

5. Tanda Putera

Filem adaptasi kisah benar ini memaparkan hubungan persahabatan antara Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail sejak tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Filem ini turut diarahkan oleh pengarah prolifik Datin Paduka Shuhaimi Baba. Tanda Putera dibintangi oleh Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim dan ramai lagi.

Sebuah lagi filem inspirasi kisah benar bakal ditayangkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
 

Kisah Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang merupakan pasukan elit dari Tentera Laut Diraja Malaysia bakal digarap dalam filem PASKAL The Movie.
 

Diadaptasikan dari kisah benar, filem arahan Adrian Teh ini berkisarkan mengenai kisah kejayaan pasukan elit itu dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.
 

Dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi, jangan lupa saksikan PASKAL pada 27 September ini di pawagam berdekatan anda!