FILEM Abang Long Fadil 2 (ALF2) berjaya memecahkan rekod kutipan filem tertinggi sebanyak RM18.1 juta sejak ditayangkan Ogos lalu, sekali gus membenam kutipan filem tertinggi sebelum itu yang pernah dipegang oleh Polis Evo.

Susulan kejayaan tersebut, pengasas Skop Production Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam mengesahkan penggambaran filem sekuel "Abang Long Fadil 3" akan dimulakan tahun depan.

"Abang Long Fadil 3" dijangka membabitkan kos sebanyak RM4 juta dan merupakan hadiah kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan terhadap industri filem Melayu tempatan.

"Penggambarannya dijangka akan dilakukan selepas Aidilfitri tahun depan iaitu selepas tayangan filem ketujuh Syafiq iaitu 'KL Special Force' pada Mac 2018," katanya memetik laporan Harian Metro.

Yusof ditemui pada majlis meraikan kejayaan Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu, semalam yang menjadi pawagam memperoleh kutipan tertinggi dan jumlah penonton terbesar seluruh Malaysia untuk filem ALF2 terbitan Skop Production itu dengan jumlah kutipan lebih RM700,000.

"ALF3 akan membabitkan kos lebih tinggi berbanding sebelumnya kerana filem itu juga bakal menampilkan lebih ramai bintang dan nama besar dalam industri.

"Filem itu nanti bakal mengambil masa penggambaran yang panjang bagi menghasilkan filem aksi yang lebih berkualiti setaraf dengan filem Hollywood.

"Dengan mengekalkan pelakon utama selain barisan pelakon baru dan lama serta kecanggihan teknologi yang diserapkan dalam filem itu, saya yakin ia mampu mencatat kutipan lebih daripada apa diperolehi menerusi ALF2," katanya.

Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Harian Metro