LIMA BELAS tahun bukanlah suatu masa yang singkat, namun itulah hakikatnya buat band punk rock The Pilgrims. Tahun 2000 adalah tahun terakhir mereka merakamkan album yang berjudul "Achtung: This Is Not A Metal Band."

Di perantaraan waktu itu mereka mengisi masa acara bersama keluarga serta urusan kerja harian.

Ada yang sibuk dengan "project" band dan melanggan obsesi terbaru, namun sesekali mereka memanjat pentas dari skala kecil hingga ke besar untuk membakar rindu pada kawan-kawan dan peminat yang selama ini menyokong tanpa jemu.

Bermula dari bulan puasa 2015 mereka menggarap dan mengukir lagu-lagu untuk rakaman album terbaharu mereka.

Buat pertama kali album ini digarap sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Lagu-lagunya pula ditinggikan kelajuan riffing selain kekerasan bisingnya pula dinaik taraf.

Album kali ini berkisar dengan aktiviti motosikal kuasa besar dan kekalutan hidup di kota raya. -The Pilgrims

The Pilgrims kini kembali ke genre asal mereka di tahun 1987; bau-bau thrash metal kini kembali biarpun lontaran vokal dikekal dengan cara bersahaja dan beratitude punk rock.

Album kali ini berkisar dengan aktiviti motosikal kuasa besar dan kekalutan hidup di kota raya.

Album ini digelar "Achtung Riders" selari dengan apa yang hendak disampaikan melalui lagu-lagu mereka -- laju, padat, menyengat -- itu yang cuba dilakukan oleh mereka.

Berbeza dengan album-album sebelum ini, The Pilgrims hanya menjual hasil seni mereka kali ini by hand oleh ahli band mereka sendiri dan juga melalui pos.

'Achtung Riders' tidak terdapat di mana-mana kedai muzik dan hanya kedai muzik di Pusat Beli Belah Campbell diberi keistimewaan untuk menjual album mereka.

Kini 'Achtung Riders' -- yang dirakam di studio Bakri Music Workshop -- sudah 'melanggar' Malaysia pada 1 Disember lalu.

Mereka akan beraksi di konsert Rock The World #15 di Bukit Jalil pada 12 Disember nanti.