HIBURAN
Afgan beri nafas baru pada lagu Sheila Majid

Setelah tiga tahun menyepi, Afgan muncul dengan lagu 'Kumohon' yang asalnya dinyanyikan oleh Datuk Sheila Majid.
Setelah tiga tahun menyepi daripada melancarkan lagu yang bergenre nasyid, Afgansyah Reza lebih popular dengan panggilan Afgan kini hadir dengan satu single terbaru berjudul Kumohon.
Single tersebut pernah dipopularkan oleh ratu jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid yang telah diberi nafas baru oleh Afgan bersempena dengan bulan Ramadan tahun ini.
Penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Pesan Cinta ini mengakui dia adalah seorang peminat Sheila dan telah mendapat inspirasi untuk memberi nafas baru kepada lagu itu.
"Lagu ini pernah dinyanyikan oleh Sheila Majid. Dari kecil saya sudah mengagumi beliau dan akhirnya saya berpeluang untuk menyanyikan lagu beliau dengan nafas yang baru," kata Afgan ketika ditemuramah oleh Astro AWANI.
“Lagu Kumohon sangat bermakna bagi saya. Setiap kali saya galau atau resah, saya pasti mendengarkan lagu tersebut untuk menenangkan diri saya,” katanya.
Afgan mengakui Kumohon yang didendangkan telah diberikan nafas baru itu bukanlah sesuatu yang mudah, kerana lagu tersebut sangat simbolik dan identik dengan suara Sheila. Namun begitu, dia yakin dia telah melakukan yang terbaik di dalam memberikan sesuatu yang baru di dalam lagu itu.
"Kerana lagu aslinya sudah sangat bagus, jadi sangat sukar untuk diberikan nafas yang baru, tapi saya yakin saya telah menyanyikannya dengan baik." ujarnya.
Astro AWANI cuba untuk mendapatkan komen daripada ratu jazz Malaysia, Sheila namun tidak berjaya kerana beliau sedang sibuk menjalani proses rakaman untuk album terbaru yang masih lagi dalam pembikinan awal.
Lagu asal menampilkan genre jazz, namun ia dibikin semula bersesuaian dengan tujuan untuk menjadikannya sebagai single yang berunsurkan nasyid.
Menurutnya lagi, Kumohon adalah umpama doa kepada tuhan dan ia juga telah memberikan kesan yang mendalam kepada dirinya.
"Kumohon ini seperti doa. Kerana hidup tidak selalunya lancar, jadi kita berdoa dan memohon untuk sentiasa dilindungi oleh Yang Maha Kuasa. Setiap kali saya dilanda masalah sewaktu di sekolah, saya selalu mendengarkan lagu ini," tambah Afgan.
Afgan yang kini popular dengan lagu berjudul Katakan Tidak juga pernah mendendangkan lagu daripada genre yang sama berjudul Padamu Ku Bersujud.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami