Tutup

A. Aida sah bergelar isteri pelakon muda 29 tahun

A. Aida sah bergelar isteri pelakon muda 29 tahun
Pasangan pengantin dinikahkan oleh Jurunikah Ustaz Mohammad Imran Nasohah, Imam 2 Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya.
DENGAN dua kali lafaz, produser Datuk A. Aida sah bergelar isteri kepada pelakon muda Ariff Aziz, 29, tepat jam 9.00 malam tadi.

Pasangan pengantin dinikahkan oleh Jurunikah Ustaz Mohammad Imran Nasohah, Imam 2 Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya.

Ariff atau nama sebenarnya Wan Izma Ariff Abd Aziz memberikan mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran RM20,000.

Selain itu A. Aida, 47, turut menerima tiga dulang hantaran berupa wang hantaran, cincin jenama Cartier seberat 1.42 karat dan Beg tangan jenama Hermes.
Sementara Ariff pula menerima lima dulang yang dibalas dengan jam tangan jenama Hublot, cincin, beg bimbit jenama Louis Vuitton (LV), minyak wangi jenama Chanel serta kuih-muih dan manisan.

Majlis pernikahan yang serba ringkas tetapi meriah yang berlangsung di Dorsett Grand Hotel, Subang itu dihadiri tetamu yang terdiri daripada sanak saudara pasangan pengantin dan rakan rapat.
Majlis resepsi kedua-dua mempelai dijadual akan diadakan di rumah peranginan A. Aida di Janda Baik, Pahang pada 20 April 2019 sempena tarikh hari lahir A. Aida.

Aida pernah melalui tiga alam perkahwinan sebelum ini termasuklah dengan Ameng (Spring) dan dikurniakan tiga orang anak melalui dua perkahwinan.

Datuk A. Aida dan Ariff Aziz mula kenal sejak 2015 ketika Ariff bekerjasama dalam projek drama bersama A. Aida. Namun baru mula bercinta sejak tiga bulan lalu.

Pada 4 Julai lalu, Ariff membuat kejutan dengan melamar A Aida di sebuah restoran Arab di Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan memberikan sebentuk cincin. 

Teks & Foto: Syafiqah Jalal