'Akan Ku Tunggu' masih ada peminat - Pat Candy

'Akan Ku Tunggu' masih ada peminat - Pat Candy
Nama kumpulan Candy masih diingati para peminat mereka sejak zaman populariti lagu 'Akan Ku Tunggu'. - Foto: Patricia Robert
KUALA LUMPUR : Peminat rock kapak di era 90-an tentunya masih ingat pada lagu Akan Ku Tunggu nyanyian kumpulan rock wanita tanah air Candy.

Lagu itu ciptaan Edrie Hashim meletup pada tahun 1997 yang melonjakkan nama kumpulan dari Sarawak itu satu masa dulu.

Namun agak lama nama kumpulan Candy tidak meniti di bibir peminat sejak album terakhir mereka pada tahun 2008.

Namanya seakan lenyap bersama peredaran zaman, begitulah juga kemeriahan 'rock kapak' yang pernah mewarnai industri muzik tanah air dahulu.

Pada 13 Julai lalu, kumpulan itu membuat penampilan di sebuah konsert Rokestra Lagenda yang menampilkan tokoh-tokoh bintang rock terkemuka tanah air di Panggung Aniversari.
Candy dalam rangka menghasilkan sebuah single sebagai hadiah untuk para peminat mereka. - Foto: Patricia Robert

Penampilan Candy bersama beberapa artis lain termasuk Datuk Nash, Datuk Hattan, Mus May serta Bandi Amuk nyata bertenaga.

Candy yang dibarisi Pat (penyanyi) , Nancy (bass) ,Anis Kalisa (gitar) serta Kim Herrin (drum) menampilkan beberapa lagu masih mampu memberikan persembahan yang memukau sekalipun agak lama tidak menghiburkan dalam konsert sebegitu.

Malah mereka masih mempunyai peminat yang hadir dan turut sama menyanyi lagu popular mereka.

Menurut penyanyinya Pat atau nama sebenarnya Nurul Nadhirah Patricia Robert yang dihubungi Astro AWANI berkata, Candy masih lagi wujud dalam industri dan ketika ini dalam perancangan untuk menghasilkan single yang diterbitkan oleh suaminya, Edrie Hashim.

“Candy ada. Ada juga jemputan-jemputan yang masih diterima walaupun mungkin tidaklah serancak dahulu. Kami masih lagi aktif dan sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan single.

"Sekarang kalau lihat industri ketika ini agar sukar bagi artis untuk mengeluarkan album kerana kekangan ekonomi. Orang pun dah jarang beli album," katanya.

Pat juga mengakui era rock ketika ini sedikit suram jika dibandingkan di era 80-an atau 90-an.

Namun genre rock katanya masih lagi bertahan dan tidak mati ditelan zaman.

“Memang di Malaysia ni kita ada pelbagai genre muzik. Tapi kalau kita tengok bila ada show kat mana-mana, lagu rock juga orang lebih layan. Akak tak cakap genre muzik lain tak bagus, tapi buktinya muzik rock tak ikut musim.. rock sentiasa ada," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Bagaimanapun Pat tidak menafikan adanya kesuraman terhadap muzik rock di negara ketika ini dan kadar bayaran tidaklah 'selebat' dahulu.

Itu hakikat yang perlu diterima katanya ketika memperkatakan tentang perbezaan dan nasib muzik rock tanah air di era gah dahulu.

“Kadang kala tu Candy terima jemputan yang hadir untuk menunjukkan bahawa kami masih wujud dan muzik rock ini masih mempunyai peminatnya yang tersendiri. Kita kena ingat kalau tak ada yang dahulu, maka tak adalah yang sekarang.

"Oleh itu kita perlu menghormati mereka yang pernah mewarnai industri muzik tanah air tak kira era bila pun," jelasnya.

Tag: Astro, Astro Awani, ekonomi, wanita, air, mati, konsert, Malaysia, candy


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.