KETERUJAAN peminat untuk bertemu dengan penyanyi pop Amerika Syarikat, Ariana Grande akhirnya terkubur kerana penyanyi tersebut terpaksa mebatalkan sesi bertemu peminat sebelum konsertnya di Antwerp.

Ariana Grande yang popular dengan lagu Break up with your girlfriend, I'm bored terpaksa membatalkan sesi tersebut kerana dihantui kemurungan dan juga serangan panik.

Menurut laporan media antarabangsa, penyanyi berusia 26 tahun itu turut dijadualkan untuk membuat persembahan di Glasgow, Birmingham dan London yang merupakan lokasi konsert jelajahnya 'Sweetener World Tour'.

Bagi memaklumkan perkara tersebut kepada peminatnya yang sepatutnya bertemunya di Antwerp, Ariana menghantar satu pesanan e-mel kepada mereka dengan menjelaskan telah mengalami serangan panik dan memutuskan untuk membatalkan pertemuan tersebut supaya dia dapat berehat dan memberikan yang terbaik kepada konsert yang akan diadakan.

"Hai, baiklah saya akan berterus terang dengan anda, sejak kebelakangan ini saya mengalami kebimbangan dan kemurungan pada tahap yang agak serius.

"Saya cuba memberikan yang terbaik untuk anda namun kes ini menjadi sangat serius dan saya tidak dapat menyembunyikannya lagi," tulis Ariana.

Tambahnya, sejujurnya dia sangat berbesar hati untuk meluangkan masa bersama peminatnya namun malangnya dia tidak dapat menghadirkan diri.