PENYANYI Akim Ahmad mengakui terpaksa menolak untuk berduet dengan isterinya, Stacy atau Ummu Syaikhah Stacy Anam akibat masalah yang dihadapi.

Menurut Akim, buat masa sekarang dia ingin memberikan perhatian sepenuhnya bersama kumpulan Akim & The Majistret yang akan keluarkan single tidak lama lagi.

"Memang sebelum ini kami mempunyai perancangan untuk keluarkan single bersama namun buat masa sekarang perkara itu harus dilupakan seketika kerana saya ingin memberikan perhatian pada Akim & The Majistret.

"Lagipun buat masa sekarang Stacy sedang sibuk untuk menulis lirik jadi saya saya rasa sekarang bukan masa yang sesuai untuk berduet.

"Sejak cuba menulis, dia jadi makin suka dan saya mahu dia memberi fokus sepenuhnya dahulu pada benda yang dilakukannya itu.

"Tidak dinafikan Stacy ada bakat tetapi kadangkala ada juga dia meminta bantuan dan tunjuk ajar daripada saya,” katanya kepada Astro Gempak.

Akim berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan barisan pelumba Toyota Gazoo musim kedua di APW Bangsar, baru-baru ini. - Teks oleh Rozaimi Zubaidi/Foto: Instagram