Pelakon Bollywood, Sushant Singh Rajput ditemui mati di rumahnya, kata jurucakap polis Mumbai pada Ahad.

Kenyataan polis menyebut aktor berusia 34 tahun itu ditemui tergantung di rumahnya di Carter Road, Mumbai dan setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh diri.

Kematian Sushant menyusul beberapa hari selepas bekas pengurusnya, Disha Salian meninggal dunia, juga dipercayai bunuh diri.

Laporan media menyebut Sushant yang tinggal bersendirian, kali terakhir mengemas kini akaun Instagramnya yang memilik 10 juta pengikut, kira-kira seminggu lalu dengan memuat naik foto ibunya.

Merupakan graduan kejuruteraan mekanikal, Sushant mula menceburi bidang lakonan pada 2009.

Disifatkan antara aktor muda berbakat besar, Sushant mula popular selepas membintangi siri televisyen Pavitra Rishta, sebelum mencipta nama sebagai bintang filem.

Antara wataknya yang paling diiingati ialah sebagai bekas kapten pasukan kriket India, Mahendra Singh Dhoni, dalam filem biopik, MS Dhoni, yang juga merupakan antara filem paling berjaya pada tahun 2016.