JIKA sebelum ini tiga "Khan" iaitu Shahrukh Khan, Salman Khan dan Aamir Khan mendominasi dunia perfileman Bollywood, kini mereka bertiga harus memberi penghormatan besar kepada seorang lagi "Khan", aktor Irrfan Khan.

Irrfan Khan kini menjadi tumpuan susulan kejayaan filem terbaharu lakonannya, "Jurassic World" yang telah mencipta rekod dunia dengan pungutan hampir AS$511 juta di seluruh dunia sejak hari pertama ditayangkan.

Irrfan yang memegang watak Simon Masrani, iaitu pemilik taman tema Jurassic World, ialah satu-satunya individu di Bollywood yang berjaya mencapai kejayaan sebesar itu.

Malah, penampilan pelakon berusia 48 tahun ini menerima pujian hebat selepas berjaya memainkan peranan yang cukup besar dalam filem tersebut.

“Kejayaan filem 'Jurassic World' memberi tuah kepada kami semua. Saya sangat lega dengan sambutan positif yang diberikan kepada para penonton di seluruh dunia, terutamanya di India.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang sama-sama bertungkus lumus menjadikan ia sebuah filem yang cukup hebat sehingga menerima kejayaan besar seperti ini,” jelas Irrfan menerusi kenyataan rasmi kepada media.

Irrfan bakal muncul menerusi filem terbaru yang diadaptasi daripada sebuah novel seram berjudul Inferno.