Tutup

#AliSetan30tahun: 'Babak katak','Tipah Tertipu' antara yang paling diingati

#AliSetan30tahun: 'Babak katak','Tipah Tertipu' antara yang paling diingati
Walaupun sudah 30 tahun ia ditayangkan, ramai yang masih mengingati babak-babak dan dialog mencuit hati dari filem Ali Setan.
KUALA LUMPUR: Filem Ali Setan arahan Tan Sri Jins Shamsudin yang mencecah angka pecah panggung atau box office sekitar tahun 1985 sememangnya memberi impak yang cukup kuat buat penonton sehingga ke hari ini.

Walaupun sudah 30 tahun ia ditayangkan, ramai yang masih mengingati babak-babak dan dialog mencuit hati dari filem yang berlatarkan kehidupan pelajar universiti itu.

Apa yang pasti, lakonan Fauziah Ahmad Daud sebagai Asmidar dan Azmil Mustapha yang memegang teraju utama sebagai Ali cukup berkesan.

Malah turut dikatakan ramai yang berpendapat filem berkenaan mendorong mereka untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana dapat merasakan kehidupan di kampus yang menyeronokkan.
Ali Setan
Azmil sebagai Ali dalam salah satu babak dalam filem Ali Setan - Foto petikan dari filem


Dalam tinjauan Astro AWANI, adegan Ali menghadiahkan Asmidar katak adalah yang paling diingati ramai.
Apatah lagi babak tersebut dilihat begitu lucu dan asli dengan usikan pantun katak oleh Ali dan geng-gengnya di universiti keesokan hari.

Begitu juga paling mendapat tempat adalah  penampilan pertama, penyanyi Jazz Datuk Sheila Majid yang memainkan watak Tipah iaitu sepupu Ali dengan dialog klasiknya "Tipah Tertipu".

Ali Setan
Pelakon tersohor Ogy Ahmad Daud sebagai Asmidar -  Foto petikan dari filem


Selain garapan cerita itu sendiri yang menarik, keserasian antara Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy dan Azmil juga antara keistimewaan yang membuatkan filem tersebut kekal dalam ingatan ramai.

Ali Setan sebuah filem yang mengisahkan Ali, siswazah tahun akhir yang tidak habis-habis mengusik dan mengurat Asmidar yang merupakan pelajar baru atau freshie di universiti. 

Ikuti apa yang dikongsikan pembaca bersama Astro AWANI mengenai filem Ali Setan.