Allahyarham JS Kevin yang ku kenali

Allahyarham JS Kevin yang ku kenali
Arwah JS Kevin juga mahir bermain alat-alat muzik, maka tidak hairanlah jika dia juga sangat memahami kehendak pemuzik dalam setiap kumpulan rock tanah air. Foto ihsan Zua XPDC
SIAPA yang tidak kenal Arwah JS Kevin atau nama sebenarnya Zul Adnan Rozali.

Nama itu sebenarnya sangat sinonim dengan kebanyakan lagu-lagu yang popular di kalangan 'rockers' di negara ini terutamanya di sekitar tahun 80an dan 90an.

Saya sendiri secara peribadinya mengenali beliau sejak usia remaja lagi, sama-sama membesar sehinggalah beliau muncul sebagai seorang pencipta atau penggubah lagu yang sangat terkenal.

Malah memang antara kami sendiri mempunyai pertalian keluarga. 

Tidak keterlaluan jika dikatakan arwah sangat dikenali di kalangan pemuzik terutamanya kumpulan rock tanah air sebagai seorang penggubah lagu yang boleh dikategorikan sebagai 'genius'.

Cara Allahyarham mencipta lagu secara spontan sangat sukar ditemui sehingga kini atau boleh dikatakan tiada langsung yang mampu menandinginya.

Saya masih ingat sewaktu beliau aktif mencipta lagu, kebanyakannya Allahyarham akan mencipta melodi dengan lirik sekali dan berdasarkan karektor si penyanyi yang bakal melantunkan lagu tersebut.

Beliau amat teliti dan cermat dalam menghasilkan sesebuah lagu walaupun mungkin beliau cetuskan secara spontan atau dalam tempoh yang singkat.
Lihat sahajalah hasil sentuhannya dalam lagu Nafisa, Semangat Yang Hilang, C.I.N.T.A, Misteri Mimpi Syakilla, Suara Kita dan lain-lain yang sehingga kini masih kekal mekar dalam ingatan kita.

Arwah JS Kevin juga mahir bermain alat-alat muzik. Maka tidak hairanlah jika dia juga sangat memahami kehendak pemuzik dalam setiap kumpulan rock tanah air.

Beliau jugalah sebenarnya orang yang bertanggungjawab membawa saya ke dalam kumpulan XPDC sebagai pemain bass.

Pada masa itu saya masih ingat, XPDC masih belum dikenali dan nama kumpulan kami ketika itu adalah Tragedi sebelum beliau tukar nama band kami sebagai XPDC yang dikenali sehingga ke hari ini.

Saya ketika itu adalah individu yang sering mengikut beliau ke studio rakaman melihat sendiri kerja-kerja dan proses sesuatu rakaman lagu dilakukan.

Waktu itu beliau banyak terlibat dalam pembikinan dan menerbitkan album-album kumpulan rock terkemuka.

Ada sebahagiannya saya dah lupa nama album-album itu tapi yang saya ingat termasuklah WINGS dan BPR selain XPDC sendiri.

Ketika di penghujung hayat beliau, Allahyarham JS Kevin sempat menciptakan lagu untuk saya. Ketika itu saya sudah pun keluar dari kumpulan XPDC dan menubuhkan kumpulan VIPER.

Ia telah dimuatkan dalam album Viper, dan lagu tersebut diberi tajuk 'Perhentian Objektif'.

Saya masih ingat, ketika menyiapkan lagu tersebut Allahyarham sedang bergelut dengan sakit yang dialaminya sejak sekian lama.

Sejurus selepas lirik lagu tersebut siap,keesokan harinya beliau menghembuskan nafas terakhirnya di rumah beliau di Ampang pada 8 Ogos 2002.

Sayalah antara orang yang menguruskan jenazah Allahyarham ketika itu.

Tidak dapat dinafikan pemergian beliau sangat dirasai oleh ramai orang dalam industri muzik tanah air.

Sangat sukar untuk kita cari mana-mana individu yang mempunyai tahap genius dalam mencipta lagu seperti beliau.

Sehingga kini saya tidak pernah menemui ciri-ciri 'genius' itu pada penggubah atau pencipta lagu yang lain.

Malah ketiadaan beliau sangat dirasai oleh semua anggota XPDC terutamanya ketika beliau pergi itu XPDC dalam keadaan berpecah.

Kami ketika itu seperti hilang haluan dan tidak tahu ke mana hala tuju kami.

Jika ditanya, JS Kevin dari kaca mata saya adalah seorang sangat berbakat,ideanya kadangkala amat sukar untuk ditafsir, banyak tindakannya yang kita tidak jangka sama sekali dan sememangnya beliau adalah anugerah Tuhan yang sangat sukar untuk dicari ganti.

Semoga Allah menempatkan Arwah dikalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah.



Zua XPDC adalah vokalis dan pemain bass kumpulan rock XPDC

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.