Pelakon terkenal Hollywood, Angelina Jolie hari ini mendedahkan bahawa beliau baru sahaja menjalani pembedahan membuang ovari dan tiub fallopio kerana bimbang terjadi penyakit kanser selepas menjalani pembedahan mastektomi atau membuang payu dara dua tahun lepas.

Beliau yang juga merupakan isteri kepada pelakon Brad Pitt membuat pengumuman tersebut di dalam satu artikel tulisannya di akhbar New York Times.

Jolie yang kehilangan ibu, nenek dan ibu saudara akibat kanser dikatakan membawa gen mutasi yang menjadikan beliau 87 peratus berisiko untuk membentuk kanser payudara dan 50 peratus terdedah kepada risiko kanser ovari.

"Saya bukan sengaja melakukan pembedahan ini, tetapi disebabkan saya pembawa gen mutasi BRCA1 dan saya mahu wanita lain tahu mengenai perkara ini. Namun begitu, jika anda positif ujian BRCA tidak semestinya perlukan pembedahan.

"Dalam kes saya, semua doktor yang saya temui bersetuju bahawa pembedahan untuk membuang tiub dan ovari adalah pilihan terbaik ini kerana tiga wanita dalam keluarga saya telah meninggal dunia akibat kanser," tulis Jolie dalam artikel tersebut.

Doktor menasihatkan beliau mendapatkan pembedahan sedekad sebelum mencapai usia ahli keluarga lain yang mendapat kanser.

"Kanser ovari Ibu saya telah didiagnosis ketika dia berusia 49. Saya kini berumur 39," kata Jolie.

Jolie berkata bahawa beliau sudah bersedia untuk kemungkinan memerlukan pembuangan ovari sejak melakukan mastektomi.

Namun, dua minggu lalu, Jolie memberitahu bahawa beliau mendapat panggilan daripada doktornya yang memaklumkan bahawa keputusan ujian darah beliau mempunyai beberapa tanda wujudnya radang yang tinggi dan ia menjadi tanda awal kanser.

Dia dinasihat untuk membuat pembedahan segera.