DRAMA bersiri berkonsep epik fantasi, Game of Thrones, mencipta sejarah tersendiri dalam Anugerah Emmy ke 68 yang berlangsung di Microsoft Theater, Los Angeles, pagi tadi.

Kejayaan memenangi 12 buah trofi menerusi musim keenamnya menjadikan produksi Game of Thrones sebagai yang paling berjaya dalam Anugerah Emmy setakat ini.

Siri itu kini mengumpul 38 buah trofi Emmy, sejak mula dicalonkan menerusi musim pertama pada tahun 2011.

Ia sekali gus mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang siri komedi Frasier, yang memenangi 37 buah trofi.

Antara kategori yang dimenangi Game of Thrones tahun ini ialah Rekaan Produksi Terbaik, Pengarahan Terbaik dan Penulisan Skrip Terbaik.

Drama bersiri yang diadaptasi daripada siri novel A Song of Ice and Fire itu juga diiktiraf Drama Bersiri Terbaik, yang merupakan kategori utama.

Selain Game of Thrones, turut mendapat perhatian tahun ini adalah kemenangan Julia Louis-Dreyfus sebagai Aktres Siri Komedi Terbaik menerusi siri Veep, yang merupakan kemenangan kali kelima berturut-turut, dan trofi Emmy kelapan yang berjaya digenggamnya.

Rami Malek, yang mendapat perhatian menerusi watak Elliot Anderson, jurutera siber yang mengalami masalah tekanan jiwa dalam Mr. Robot, menang kategori Aktor Drama Terbaik, biarpun baru kali pertama dicalonkan.

Peminat Beyonce pula agak kecewa apabila dokumentari khas Lemonade, yang dicalonkan dalam kategori Rancangan Hiburan Khas Terbaik, tewas kepada Grease: Live.

Antara pemenang-pemenang lain ialah Tatiana Maslany (Aktres Siri Drama Terbaik), Maggie Smith (Aktres Pembantu Terbaik Dalam Drama Bersiri), Ben Mendelsohn (Aktor Pembantu Terbaik Dalam Drama Bersiri) dan The Voice (Rancangan Pertandingan Realiti Terbaik).

Anugerah Emmy tahun ini diacarakan personaliti televisyen terkenal, Jimmy Kimmel.