PELAKON, pengarah dan pelawak veteran, AR Badul masih panjang umur dan sedang berehat di rumah ketika ini.

Laporan yang mendakwa seniman veteran itu sudah menghembuskan nafas terakhir seperti yang tersebar di media sosial adalah palsu semata-mata.

Menafikan dakwaan tidak berasas itu, adik AR Badul, Adlin Aman Ramlie berkata abangnya berada dalam keadaan yang sangat stabil selepas dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) beberapa hari lalu.

“Saya dapat sahkan abang saya sihat. Beliau tidak seperti yang diperkatakan netizen di media sosial,” kata Adli kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut Adlin, laporan palsu kematian abangnya itu turut menjadi bahan perbincangan dalam kumpulan WhatsApp keluarganya.

“Kami semua terkejut dan tertanya-tanya bagaimana berita yang tak betul boleh dilaporkan di media sosial,” ujar Adlin yang juga seorang pelakon ternama tanah air.

Berita kematian pelakon veteran berusia 70 tahun itu sekali lagi menjadi bahan perbincangan di media sosial selepas perkara yang sama berlaku beberapa tahun lalu.

Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 70, dimasukkan ke IJN pada 17 Februari lalu selepas mengadu sakit dada dan berpeluh.

Doktor yang merawat seniman itu juga sudah memasukkan dua ring jantung (stent) bagi melebarkan salur darah seniman itu.

Badul merupakan pelakon yang mula menempa kemasyhuran sekitar tahun 1970-an dan masih aktif sehingga ke hari ini.

Anak kepada legenda perfileman Melayu, AR Tompel itu pernah membintangi filem-filem seperti Panglima Badol, Tuan Badul, Prebet Lapok, Darah Satria dan banyak lagi.

BACA: AR Badul diserang sakit jantung, dirawat di CCU

BACA: Badul semakin stabil, dijangka keluar hospital Khamis