Pelakon dan pengacara, Ary Malik kini berada dalam keadaan kritikal selepas dimasukkan ke Hospital Ampang akibat kanser ovari tahap empat.

Ary dimasukkan ke hospital itu pada 18 Februari lalu selepas keadaannya semakin lemah namun dia mula tidak sedarkan diri sejak Selasa lalu.

Menurut suaminya Shahrul Nizam Shaharuddin, 46, Ary sudah mengesan penyakitnya itu sejak hampir setahun lalu, dan pernah menjalani pembedahan pada bulan Mei tahun lalu di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju.

“Pada mulanya, Ary mengadu sakit di bahagian perut dan disangkakan ia ketumbuhan biasa. Selepas pembedahan, baru kami diberitahu bahawa ia adalah kanser.

“Sejak Jun tahun lalu, Ary menjalani rawatan kimoterapi,” ujar Shahrul Nizam melalui pesanan ringkas yang dikongsi kepada pihak media.

Tambahnya, doktor turut mengesyaki barah yang dihidap Ary merebak ke bahagian kepala. Sehingga kini, keadaannya dipantau oleh pakar bahagian obstetrik dan ginekologi.

Ary yang mula mewarnai dunia seni dan penyiaran tempatan sejak tahun 90-an pernah menyertai rancangan realiti iaitu MasterChef Malaysia terbitan Astro pada tahun 2012.

Hasil perkongsian hidup dengan Shahrul Nizam, Ary atau nama sebenarnya Nurita Maliha Aryanee Abdul Malik, 46, dikurniakan tiga orang anak – Nurh Zoe Iman Malik, 19, Dinda Pelangi Timor Malik, 13, dan Ratu Chinta Mecca Malik, 11.

Semua anak-anak mereka dikhabarkan mengetahui tentang keadaan Ary sejak awal dan terus memberi sokongan kuat selain memantau teliti setiap perkembangan keadaan ibu mereka.